04 July 2021

"HADIAH HARI LAHIR - WALAUPUN TAK 100 PERATUS SIHAT" - ELYANA



Bakal genap usia 34 tahun esok, penyanyi dan pelakon Elyana yang kini berjuang menghadapi kanser limfoma tahap empat dihidapinya itu mengakui amat bersyukur kerana Allah memberikannya kesihatan semula walaupun tidak 100 peratus.

Elyana ketika dihubungi berkata tiada apa yang diharapkannya sangat, kecuali doa berterusan daripada orang ramai untuk dia terus sihat, panjang umur dan mendapat kebahagiaan di dunia dan akhirat.

"Untuk hari jadi kali ini (esok), saya sangat bersyukur sebab Allah beri semula kesihatan saya walaupun tidak 100 peratus pulih sepenuhnya. Alhamdulillah, saya sekarang dah dapat bernafas dengan lebih sempurna sedikit dari sebelum ini kerana sesak nafas.

"Saya berharap kalian semua terus doakan saya untuk terus kuat dan sihat saja, termasuk panjang umur serta bahagia. Selain keluarga dan anak-anak, terima kasih juga kerana sentiasa buat saya gembira dan kekal bersemangat," katanya.

Klik untuk gambar besar



Pada 28 Jun lalu, Elyana sudah dibenarkan pulang ke rumah dan berkata dia kini berhadapan kesan rawatan radioterapi dilakukannya sebanyak 10 sesi pusingan, baru-baru ini.

Katanya, dia sekarang mengalami sakit-sakit badan, ulser dalam mulut dan sedikit sukar hendak menelan makanan kerana rawatan radioterapi itu dilakukannya di bahagian dada.

"Bagaimanpun, syukur Alhamdulillah selera makan saya sudah pulih dan kini nikmatnya sangat dirasai dan dihargai. Kalau sebelum ini, saya setahun tak boleh makan sebab tak ada selera langsung.


"Cuma, walaupun selera makan saya dah ada tapi, berat badan pula turun sedikit iaitu 39 kilogram (kg) daripada 42 kg ketika berada di hospital menjalani rawatan, baru-baru ini," jelasnya lagi.

Elyana yang cukup popular dengan lagu 'Kalis Rindu' itu sudah menghidap kanser limfoma tahap empat sejak 10 tahun lalu. Bagaimanapun, dia hanya membuat pendedahan mengenai penyakitnya itu pada 2017 lalu.

Untuk makluman, Elyana mendirikan rumah tangga dengan ahli perniagaan, Khairul Anuar Husin pada 2010 dan dikurniakan seorang anak perempuan, Cinta Sumayyah, 10, serta memiliki anak angkat, Cahaya Ramadhani yang kini berusia dua tahun.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: