04 July 2021

AJAK KAWAN-KAWAN TOLONG RAKYAT - NAIM MAHU HAPUSKAN STIGMA NEGATIF SELEBRITI



"Kalau kita tidak dapat menderma dalam bentuk wang ringgit, apa kata kita gunakan medium media sosial untuk melakukan perkara bermanfaat. Saya akui apabila pandemik melanda, ramai yang tertekan. Kami cuba ambil inisiatif membantu insan memerlukan.

"Pada masa sama, kami mahu menghapuskan jurang dan stigma mendakwa selebriti berduit, hidup serba mewah dan tidak memikirkan orang lain," itulah ujar penyanyi dan pelakon, Naim Daniel.

Bagi membantu insan yang terkesan dengan penularan pandemik COVID-19, Naim telah bergabung dengan lebih 50 artis yang dikenali sejak zaman kanak-kanak dan menggelarkan kumpulan sebagai 'Childhood Actors'.

Melalui kumpulan WhatsApp, Naim dan teman-teman menyusun strategi menghulurkan pelbagai bantuan kepada rakyat melalui media sosial. Naim berkata kekuatan pengikut laman sosial setiap ahli kumpulan dimanfaatkan untuk menghebahkan kerja amal mereka.

Klik untuk gambar besar



"Kami mahu keadaan menjadi neutral... Kita sama sahaja. Kita sebagai rakyat Malaysia rasa sakit yang sama," kata Naim atau nama penuh, Muhammad Naim Daniel Baharin, 24.

Selain Naim, antara artis yang menyertai 'Childhood Actors' adalah Syafie Naswip, Amelia Henderson, Fatin Afeefa, Erynne Erynna, Aedy Ashraf, Sweet Qismina dan ramai lagi.

Naim berkata, andai sebelum ini mereka bergabung dalam drama yang disiarkan di televisyen (TV), kali ini, selain merapatkan ukhwah, mereka membantu orang ramai.



Antara inisiatif dilakukan adalah jualan amal serta berkongsi mengenai kesihatan mental dan isu semasa menerusi Instagram Live. Tambah Naim, selain memuat naik video cara membuat bendera putih, rakannya, Syafie membuat lelongan amal bersama Erynne dan Amelia.

"Baru-baru ini Syafie buat jualan amal. Antara barang yang dia cuba lelong adalah trofi dimenangi pada Festival Filem Malaysia (FFM) Ke-25. Insya-Allah, wang yang diperoleh hasil jualan lelong itu akan dia sumbangkan kepada pihak memerlukan," jelasnya.

Naim dalam masa sama turut berharap usaha dia dan teman-teman lain dapat meringankan beban rakyat yang menanggung impak ekonomi akibat penularan COVID-19.

"Saya faham kerana ada bil yang perlu dibayar. Saya juga ada tanggungan. Jadi, apa yang semua orang rasa, kita sama-sama rasa," katanya yang sudah mendapat suntikan pertama vaksin COVID-19.






         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: