22 July 2021

BATAL SESI IG LIVE - CAPRICE AKUI DAH PENAT, SERAH SEMUA KEPADA ALLAH



"Minta maaf guys, ada orang yang sudah buat laporan polis dan Caprice tak dapat buat Live (siaran langsung) pukul 10 malam ini. Insya-Allah the truth will be revealed by itself (kebenaran akan terbongkar dengan sendiri)," kata penyanyi rap, Caprice yang memaklumkan dia membatalkan hasrat muncul dalam sesi Instagram (IG) Live, malam tadi bagi memberi penjelasan berhubung kontroversi misi kemanusiaan membantu rakyat Gaza di Palestin.

Caprice atau nama sebenarnya, Ariz Ramli, 32, mendakwa keputusan itu dibuat susulan laporan polis yang dibuat terhadapnya. Caprice turut menampilkan salinan siaran media yang dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung kenyataan Caprice mempersoalkan tindakan Ustaz Ebit Lew pada misi kemanusiaan di Gaza, Palestin, baru-baru ini.

Melalui entri susulan yang dikongsi beberapa minit kemudian, Caprice yang meluahkan rasa kecewa, mendakwa wujud salah guna kuasa dalam situasi yang berlaku ketika ini. Caprice mengaku mahu melupakan pengalaman pahit yang dilaluinya itu.

"Saya memilih untuk teruskan kehidupan demi kebaikan diri sendiri. Saya sebenarnya masih belum pulih dengan pengalaman pahit ini. Tetapi Insya-Allah, suatu hari nanti, saya pasti beroleh ketenangan daripada aspek fizikal dan mental," ujarnya.

Klik untuk gambar besar



Caprice dalam hantaran berlainan mengakui sudah penat dengan situasi yang dilalui. Biarpun sudah mengakui dan memohon maaf atas segala kesilapan, dia tetap berasa kecewa memandangkan masih ada pihak menggunakan kuasa untuk menyembunyikan kesalahan tertentu. Situasi yang disifatkan kali kedua tersebut cukup memenatkan. Dalam pada itu, Caprice juga mengatakan akan memperbaiki dirinya agar menjadi lebih baik.

"Saya sudah penat. Caprice dah minta maaf dan tak nak keruhkan keadaan lagi, tapi kita sangat kecewa dengan pihak-pihak yang berguna kuasa untuk sembunyikn orang lain. Ini adalah kali kedua perkara macam ini berlaku tahun ini, saya dah cukup penat dan serah semua kepada Allah. Saya memilih untuk memperbaiki diri, saya masih belum 'sembuh' dengan apa yang berlaku tetapi Insya-Allah, mental dan fizikal saya akan menjadi lebih baik selepas ini," tulisnya.


Terdahulu, penyanyi yang masih berada di Mesir itu memaklumkan mahu membuat pendedahan mengenai kisah di sebalik kontroversi tercetus membabitkan misi bantuan ke Gaza itu pada pukul 10 malam ini. Namun poster berkaitan pendedahan serta makluman di IG Live bersama dua individu misteri sudah dipadamkan.

Petang semalam, Ebit Lew membuat laporan polis bagi menyangkal dakwaan dan tuduhan tidak berasas terhadap dirinya berhubung misi kemanusiaan membantu rakyat Palestin di Gaza, baru-baru ini.

Ustaz Ebit bagaimanapun tidak menyatakan secara terperinci butiran laporan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, sebelum menyatakan akan memperjelaskan isu berkenaan hari ini.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: