23 July 2021

BUAT LAPORAN POLIS - SITI NORDIANA TUNTUT PERMOHONAN MAAF



Baru-baru ini, nama penyanyi dan pelako Siti Nordiana telah dibabitkan dalam Instagram Live lima individu. Dek kerana itu, Siti Nordiana atau lebih mesra disapa Nana, menerusi peguamnya Abang Azlan Abang Ariffin telah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras, di sini, jam 9.42 pagi hari ini.

Siti Nordiana, 36, mengambil keputusan itu bagi membersihkan namanya daripada dakwaan berunsur fitnah yang jelas boleh menjejaskan nama dan reputasinya. Penyanyi lagu 'Cukup Derita' Itu berkata, dia terkilan apabila permasalahan yang sepatutnya boleh dibincang secara profesional itu dibawa ke mata khalayak.

"Sebenarnya saya enggan ambil tahu jika hal sebegitu dibincangkan dalam kalangan mereka saja. Sebelum ini pun saya sudah ada dengar ura-ura mengenai diri saya jadi bahan percakapan tapi tak ambil tahu sebab nak fokus kepada kerjaya saya. Yang saya ralat adalah apabila perbincangan itu dibuat menerusi Instagram Live pula. Saya tak pasti kenapa dan kalau ada hal yang mereka tak puas hati, kenapa perlu dibuat siaran langsung kerana boleh saja berhubung secara profesional," katanya.

Penyanyi lagu 'Memori Berkasih' bersama arwah Achik Spin itu berkata, antara perkara dinyatakan dalam laporan polis itu adalah penafian terhadap segala dakwaan yang dibuat semua individu terbabit.

Klik untuk gambar besar



"Sebelum ini, Nana memang terdengar cerita mereka memburukkan Nana sesama mereka. Tetapi, Nana pejamkan mata dan tak mahu ambil peduli. Namun, apabila sudah membabitkan 'live' dalam media sosial, Nana sudah tidak boleh bersabar. Ia jelas menjatuhkan reputasi Nana dan disebabkan itu, Nana ambil tindakan ini," jelasnya pada sidang media secara virtual, hari ini.

Sementara itu, Abang Azlan berkata, laporan itu dibuat kerana mahu melindungi penyanyi itu daripada terus menjadi mangsa fitnah yang boleh mencalarkan imej bersih yang dibina selama ini. Susulan itu, Abang Azlan memaklumkan Siti Nordiana akan menghantar notis tuntutan permohonan maaf secara terbuka kepada semua individu terbabit, Isnin ini.

"Laporan polis itu adalah satu 'covering note' atau sebagai pelindung kepada anak guam kami terhadap segala fitnah dan tohmahan yang dilakukan. Walaupun IG Live itu sudah dipadam daripada akaun milik pihak terbabit, tetapi ia sudah dimuat naik ke akaun YouTube yang lain. Saya menonton kembali siaran IG Live itu. Saya dapati perbualan mereka itu memang merujuk kepada Siti Nordiana dan segala penyataan berbaur fitnah dan kurang menyenangkan itu ditujukan kepada Siti Nordiana.



"Saya dan pihak Siti Nordiana sedang membuat draf tuntutan permohonan maaf secara terbuka dan terma lain. Ia akan diserahkan kepada mereka, Isnin ini. Dalam notis itu, kami menuntut mereka membuat permohonan maaf secara terbuka dalam masa 24 jam hingga 48 jam, bergantung kepada anak guam kami. Kami tidak mahu beri masa terlalu lama kerana tak mahu imej anak guam kami menjadi bertambah buruk," ujarnya.

Sementara itu, ketika ditanya Siti Nordiana sama ada sedia menyelesaikan kes itu secara baik jika dipinta, penyanyi lagu Hatiku Milikmu dan Angkara ini bersifat terbuka mengenainya.

"Insya-Allah, Nana faham benda ini. Kita manusia biasa dan tak sempurna. Apapun, Nana akan serahkan perkara ini kepada peguam dan kita tengoklah bagaimana hasil perbincangan itu nanti," kata Penyanyi Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-32 ini.

Mengenai dakwaan mereka pernah menghantar mesej kepadanya untuk menyelesaikan kemelut yang berlaku, Siti Nordiana mengesahkan perkara itu: "Cuma, katanya, dia lebih suka jika perkara itu dibuat dengan lebih profesional iaitu bersemuka. Nana memang ada menerima mesej mereka tetapi Nana tidak berkesempatan membalasnya. Lagipun, Nana lebih suka jika perkara ini diselesaikan secara berdepan dan bukan melalui mesej kerana Nana tak mahu mesej itu nanti dimanipulasikan," tuturnya.


         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: