28 July 2021

COVID-19 - HABSAH HASSAN REDA DISAHKAN POSITIF BERSAMA SUAMI, 2 ANAK & 2 CUCU



Penulis lirik terkenal tanah air, Datuk Habsah Hassan mengesahkan dirinya positif COVID-19 dan kini dirawat di sebuah hospital swasta di ibu negara. Habsah, 71, dikejarkan ke hospital semalam selepas mengalami kesukaran bernafas.

Menurut Habsah, ketika menjalani pemeriksaan kesihatan tahunan beberapa hari lalu, doktor mendapati ada sesuatu yang tidak kena pada paru-parunya.

"Susulan itu, saya alami batuk yang berpanjangan dan sakit mata. Selepas menjalani swab test, saya disahkan positif COVID-19. Memandangkan saya juga berasa sesak nafas, akhirnya saya buat keputusan untuk rujuk ke hospital bagi mendapatkan rawatan," kata Habsah. Habsah yang telah menulis lebih 1,000 lirik berkata, beliau juga diberi bantuan oksigen oleh doktor. Selain Habsah, suami beliau, Mohamed Jusoh juga dijangkiti wabak yang sama, namun, menjalani kuarantin kendiri di rumah.

"Sudah ditakdirkan saya diuji dengan penyakit ini, walaupun sudah sekian lama saya tidak keluar rumah dan tidak bertemu orang. Saya redha Allah memberi saya ujian ini. Semoga sahabat-sahabat saya dapat mendoakan saya sekeluarga diberi kesembuhan," ujarnya yang sudah lengkap mendapatkan vaksinasi.

Klik untuk gambar besar



Anak Habsah iaitu Mohamed, 45, ketika dihubungi berkata, selain ibu bapanya, dia bersama dua anak dan seorang adiknya turut disahkan positif virus itu kerana mereka tinggal serumah dan kini perlu menjalani kuarantin selama 14 hari.

Menurut Shazmeen, ibu bapanya sudah tidak sihat sejak dua minggu lalu. Shazmeen berkata, dia sekeluarga dan adiknya memang tinggal bersama ibu bapanya.

"Mereka hanya duduk di rumah dan tidak keluar ke mana-mana pun. Tapi, apabila mereka tiba-tiba kurang sihat dan kami juga ada membuat ujian calitan Covid-19 di rumah dan keputusannya negatif.

"Bagaimanapun, ibu dan ayah masih demam. Kami bawa pula buat pemeriksaan di beberapa klinik sehingga pada Isnin lalu, mereka dibawa buat pemeriksaan kesihatan di hospital kerana ibu mengalami mengah dan sukar bernafas.


"Justeru, doktor mencadangkan kami buat ujian calitan Covid-19 dan keputusannya ibu bapa saya disahkan positif, semalam. Ibu terus dimasukkan ke hospital malam tadi untuk rawatan lanjut dan bapa pula hanya kuarantin di rumah.

"Dalam rumah ada sembilan orang dan hanya tiga daripada kami yang negatif. Keadaan saya, anak dan adik okay tapi saya sekarang tiada deria bau dan rasa.

"Insya Allah, saya sekeluarga serta ibu dan ayah termasuk adik akan kuat menghadapi dugaan ini. Kami tak sangka dijangkiti Covid-19. Apapun, mohon doakan kesihatan ibu dan bapa saya agar sembuh segera," jelasnya.

Ditanya mengenai keadaan ibunya, Shazmeen berkata, dia dimaklumkan keadaan ibunya ada menunjukkan tanda pulih walaupun doktor memberi bantuan oksigen untuk bernafas. Katanya dia bersyukur ibu bapanya sudah mendapat vaksin lengkap.

Terdahulu, berita duka dikongsi salah seorang anak Habsah iaitu Leen Mohd di media sosial meminta orang ramai yang mengenalinya mendoakan kesembuhan buat ibu bapanya.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: