13 July 2021

DBKL MINTA DOKUMEN SOKONGAN - FENDY ADA HARAPAN DAPAT RUMAH PPR



"Saya terima panggilan daripada pegawai DBKL berhubung dengan permohonan rumah. Mereka minta saya untuk mengemaskinikan maklumat saya dan menyiapkan segala dokumen diperlukan. Selepas kunjungan dan bantuan yang diberikan oleh wakil rakyat, pihak Baitulmal Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) juga datang bagi sumbangan barang keperluan dan kewangan.

"Ada juga rakan artis sudi membantu... Alhamdulillah setakat sekarang ni banyak bantuan saya dapat. Harapan saya tak banyak iaitu cukup sekiranya dapat satu rumah mampu milik untuk saya. Ia dapat menjimatkan penggunaan kewangan dalam PKP ni, sekarang sangat terbeban nak bayar sewa RM1,300 tak termasuk utiliti," demikian kata anggota kumpulan Caliph Buskers iaitu Fendy Adlun.

Rintihan terbuka Fendy tentang kesempitan kewangan yang dihadapi akhirnya mengundang rasa simpati banyak pihak yang tampil menghulurkan bantuan. Lebih menggembirakan apabila hasrat untuk memiliki sebuah rumah mampu milik di sekitar Kuala Lumpur mungkin tercapai sekiranya dia memenuhi kriteria ditetapkan.

Kata Fendy yang tinggal bersama anaknya Nur Azalea Zafirah, 6, masalah kewangan membuatkan dia sukar untuk membayar sewa rumah dan utiliti. Bercerita lanjut tentang bantuan yang sudah diterima, pemain dram Caliph Busker ini berkata dia bersyukur apabila banyak pihak yang tampil membantu dalam tempoh yang singkat.

Klik untuk gambar besar



Dalam pada itu, Fendy dia mengakui tidak mampu untuk terus bertahan di kondominium yang didiaminya kini dengan kadar sewa RM1,300 sebulan. Ujarnya lagi, dengan kewangannya yang semakin susut menyukarkan dia untuk bertahan sekiranya tidak mendapatkan bantuan.

Tambah Fendy, 30, dia dihubungi pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berhubung perkara berkenaan pada Isnin. Pada Jumaat minggu lalu Fendy memuat naik video di Facebook bertujuan meminta bantuan rumah mampu milik di sekitar Kuala Lumpur daripada pihak berwajib.

Susulan itu pada Sabtu kediamannya di Sentul, Kuala Lumpur diziarahi Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun dan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal secara berasingan. Turut hadir pada hari sama ialah wakil Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa.



         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: