"Alhamdulillah, vaksin Sinovac dah dapat masuk ke Arab Saudi. Suami dan anak saya pun ambil Sinovac. Berita ini juga baru diumumkan, lewat petang semalam," ujar pelakon dan pengacara sensasi, Ifa Raziah yang mengakui dia tidak menyesal menolak vaksin Sinovac yang kini diiktiraf oleh kerajaan Arab Saudi bagi memasuki negara terbabit untuk tujuan mengerjakan haji dan umrah.
Terdahulu, Ifa sepatutnya mendapatkan suntikan vaksin Sinovac di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Sabtu lalu, namun nekad membatalkan temujanjinya di saat akhir. Apapun, Ifa berkata dia menyambut baik pengumuman Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri mengenai vaksin Sinovac yang sudah diiktiraf kerajaan Arab Saudi.
Ifa sebelum ini dikecam hebat warganet kerana bertindak membatalkan temujanjinya mengambil vaksin disebabkan kekeliruan dan salah faham yang berlaku di PPV, MITEC itu. Dia kemudiannya tampil dengan kenyataan memohon vaksin Pfizer kerana mempunyai masalah kesihatan, selain mahu memasuki Singapura untuk urusan perniagaan dan hasrat melakukan ibadah haji.
"Saya tiada masa nak layan dan ambil peduli dengan kecaman mereka (netizen). Nak bukti saya alergik dengan ubat-ubatan, nah saya sertakan surat doktor. Mereka kata pula, saya propa (menipu). Sekarang, saya beri mereka tengok demi buktikan saya bukan penipu. Artis lain mungkinlah," katanya.
Ditanya perasaannya apabila dikecam oleh segelintir artis dan penggiat industri, Ifa yang turut dikenali sebagai Miss Diva mengakui kecewa dengan situasi ini.
"Kalau mereka itu artis dan kenal siapa saya, lebih baik tanya saya sendiri daripada buat dosa kering. Sepatutnya kita ini (artis) kena jaga kebajikan artis, tanyakan hal kesihatannya dulu dan bukan nak menghentam serta menghasut warganet. Bagaimana warganet nak hormat mereka sebagai artis, sedangkan masing-masing pun tak respek pada artis lain," tuturnya.
________________________
No comments:
Post a Comment