23 July 2021

DIBEDAH AKIBAT GERD - EZAD LAZIM KINI SUDAH KELUAR HOSPITAL



"Ezad baharu saja keluar hospital. Dia tidak dibenarkan makan makanan biasa dan hanya boleh mengambil makanan lembut yang dikisar seperti bubur. Dalam tempoh itu, dia juga kena berehat sepenuhnya dan tak boleh buat sebarang kerja berat.

"Doakan kesihatannya akan pulih seperti sedia kala," kata isteri kepada penyanyi Ezad Lazim, Zeana Ramli yang memaklumkan suaminya telah dibenarkan pulang ke rumah hari ini dan diminta berehat dua minggu selepas menjalani pembedahan akibat masalah gastrik kronik atau refluks gastroesofagus (GERD), semalam.

Zeana ketika dihubungi turut memberitahu suaminya juga dilarang mengambil makanan keras dalam tempoh itu bagi memastikan dirinya benar-benar sembuh.

Semalam, Ezad dilaporkan telah dimasukkan ke pusat perubatan di Shah Alam selepas mengalami kesakitan berterusan. Dia mengalami muntah tanpa henti seperti selepas makan durian kunyit dalam keadaan perutnya kosong.

Menurut Zeana, menerusi pembedahan itu doktor membuang sebiji batu hempedu, hempedu dan mengecilkan saluran pemakanan menerusi cara jahitan. Tambah Zeana, Ezad dimasukkan ke hospital itu selepas mengalami kesakitan berterusan.

"Dia terlebih dulu dimasukkan ke bilik pembedahan untuk proses scope dan doktor mendapati banyak asid di bahagian lidah. Ezad mengalami muntah tanpa henti seperti yang berlaku pada 2016 dan 2017 serta kali terakhir pada Disember 2018. Puncanya kali ini dia makan durian kunyit dalam keadaan perutnya kosong.

"Bacaan diabetisnya 12 berbanding ketika dimasukkan ke Hospital Putrajaya, Ahad lalu iaitu 20. Namun keesokannya turun kepada 6.5. Ezad tak mahu ditahan di wad dan dibawa pulang ke rumah Selasa lalu. Semalam, saya bawa dia ke sini kerana ada kenalan doktor pakar GERD.

"Selepas pembedahan suara Ezad akan serak dan dia hanya boleh makan makanan seperti diberikan kepada bayi. Doktor juga minta dia kawal bacaan diabetis," jelasnya.

Terdahulu penyanyi lagu 'Demi Cinta' ini ke Gua Musang, Kelantan untuk kerja-kerja pertanian. Dia mencari benih untuk beberapa tanaman kerana merancang untuk mengerjakan dusun.

Difahamkan Ezad juga makan durian dan juga membawa balik buah durian dari sana. Dia seterusnya mengalami muntah-muntah dan tidak lama kemudian diserang panik.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: