"Perit untuk saya lalui nasib yang menimpa saya dan suami. Saya sedih apabila kami terpaksa melalui keadaan sukar seperti ini apabila hampir dua tahun abang Man tidak dapat bekerja dan sekarang dijangkiti Covid-19 pula. Wang simpanan yang ada sekarang memang cukup-cukup untuk makan saja. Kami ada banyak komitmen nak kena bayar setiap bulan. Saya juga ada tanggungan lain iaitu menjaga dua cucu.
"Sebelum ini kami ada keluarkan modal untuk berniaga, tapi pandemik Covid-19 menyebabkan perniagaan terjejas dan projek yang dijalankan tertangguh. Wang sudah banyak keluar tetapi yang masuk langsung tiada. Saya juga ada cuba berniaga kuih tapi tahu sajalah persaingan sekarang macam mana. Dalam keadaan saya sekarang yang ada darah tinggi dan kencing manis memang susah untuk bergerak.
"Abang Man yang selama ini tak pernah menangis, akhirnya mengalirkan air mata," kata isteri kepada pemain gitar legenda, Man Kidal iaitu Norlaila Yusof yang mendedahkan mereka kini berdepan kesempitan hidup akibat tidak bekerja hampir dua tahun selain kedua-duanya kini positif Covid-19.
Norlaila ketika dihubungi berkata, dia dan suaminya hilang punca pendapatan sejak fasa pertama Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada Mac tahun lalu. Sejak itu, mereka cuba menjalankan perniagaan kecil-kecilan, namun usaha itu tidak mampu menampung komitmen setiap bulan.
Norlaila yang beberapa kali mengalirkan air mata ketika menceritakan kesusahan yang dilalui berkata, sepanjang pembabitan Man Kidal dalam bidang seni, mereka tidak pernah meminta bantuan daripada mana-mana pihak.
"Kalau ada pun, tak pernah dapat kerana dikatakan tidak layak. Mungkin orang ingat kami hidup senang, padahal kami juga sedang berjuang untuk terus hidup. Saya bukannya nak harapkan bantuan orang sebab selama ini kita usaha keras untuk teruskan hidup," ujarnya.
Norlaila yang disahkan positif Covid-19 minggu lalu berkata, dia kini beransur pulih berbanding suaminya yang mula dijangkiti, Isnin lalu.
"Tahap kesihatan saya beransur pulih cuma tidak boleh berdiri terlalu lama kerana rasa nak pitam. Abang Man pula keadaannya masih lemah dan demamnya juga masih tidak menentu. Malah, deria bau kami berdua pun belum pulih, begitu juga dengan tiada selera makan," katanya.
Klik untuk gambar besar
Norlaila berkata, mereka sepatutnya pergi ke Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) di Stadium Malawati, Shah Alam tapi melihat keadaan di situ teruk dan ramai orang, mereka memilih untuk menjalani kuarantin di rumah memanggil doktor untuk membuat pemeriksaan.
Berita Man Kidal atau nama sebenarnya Abdul Rahman Mahmood dan Norlaila dijangkiti Covid-19 disahkan anak bongsunya, Nur Syahirah Rahman, Isnin lalu. Nur Syahirah dilaporkan berkata, bapanya disahkan positif Covid-19 selepas menjalani ujian calitan di sebuah klinik swasta kerana menjadi kontak rapat kepada ibunya.
Nur Syahirah berkata, ibunya mengalami demam berpanjangan dan batuk sejak minggu lalu. Selepas menjalani ujian saringan, Norlaila disahkan positif Covid-19 dan diminta menjalani kuarantin di rumah. Menurutnya, selain ibu bapa, bapa saudara dan dua anak saudara juga menjalani ujian calitan kerana tinggal serumah dan menjadi kontak rapat.
Selain Nur Syahira, Norlaila dan Man Kidal mempunyai dua lagi anak lelaki dan perempuan. Sementara itu, Nur Syahirah mengenai kesempitan hidup yang terpaksa ditanggung ibu bapanya akibat tiada punca pendapatan sejak dua tahun lalu. Nur Syahira berkata, mereka tidak pernah mengabaikan tanggungjawab terhadap ibu bapa, malah sentiasa berusaha untuk membantu meringankan beban mereka.
"Memang sudah ada yang hubungi dan pertikai kenapa kami adik-beradik tak tolong mama dan papa. Takkan kami nak biarkan mama dan papa hidup dalam kesusahan. Kalaulah ada duit yang banyak memang kami tidak akan sesekali biarkan mereka minta bantuan. Selama ini pun mereka tak pernah minta sebarang pertolongan daripada sesiapa. Kami sesama sendiri ikhtiar cari duit, cuma sekarang ini masing-masing tengah susah dan tidak boleh buat apa-apa.
"Kami adik-beradik ada cuba bantu apa yang termampu dengan kumpul duit dan kirimkan kepada mereka. Namun, jumlahnya tidaklah besar kerana perniagaan masing-masing pun tengah susah sekarang," katanya. Menurut Nur Syahira, orang luar tidak sepatutnya menghukum sebaliknya perlu memahami situasi yang ditanggung mereka sekeluarga.
"Perniagaan saya serta adik-beradik lain sedang mengalami kesukaran. Saya ada menjalankan perniagaan percetakan tapi terpaksa hentikan operasi seketika kerana kilang ditutup. Saya juga ada tolong mama berniaga kuih tapi dalam keadaan dirinya yang positif Covid-19 serta keadaan kesihatan yang kurang sihat, saya tak sampai hati nak biarkan dia bekerja. Saya mohon orang luar jangan pertikai atau mengatakan kami adik-beradik tidak membantu mama dan papa. Kami sudah berusaha sehabis baik untuk membantu mereka," katanya.
________________________
No comments:
Post a Comment