10 July 2021

'DIGODA' DADAH SEJAK USIA 14 TAHUN - RUANG KOMEN IG NIA RAMADHANI DITUTUP



"Dalam dunia selebriti semuanya sudah bermula dari saya berumur 14 tahun, dunia sebegitu sudah ada kok. Dunia narkoba (dadah). Itu bergantung pada iman masing-masing. Di saat penggambaran, ada pelbagai perkara timbul, pasti ada juga yang menawarkan (dadah) cuma, ia bergantung bagaimana asuhan orang tua dan seterusnya diri sendiri," kata pelakon terkenal Indonesia, Nia Ramadhani sewaktu dia diwawancara bersama media pada 2018.

Pelakon sinetron 'Bawang Merah Bawang Putih' itu yang ditahan selepas disyaki terbabit dalam penyalahgunaan dadah kelmarin mengakui dia sebenarnya pernah ditawarkan bahan terlarang itu sejak usia 14 tahun.

Bahkan katanya sebelum ini, Nia yakin tidak mungkin akan terjebak untuk mengambil bahan tersebut kerana percaya semuanya bergantung atas diri sendiri serta didikan orang tua yang berkesan.

Kata Nia lagi, dadah bukan hanya terdapat di tempat hiburan atau kelab malam semata-mata, ia diedarkan dalam kalangan rakan-rakan selebriti hingga ke lokasi penggambaran.

Klik untuk gambar besar



"Dari saya kecil ditawarkan dadah, cuma bukan di kelab malam saja. Jika ingin takut dengan dadah, tu semua bergantung pada diri sendiri," ujar Nia.

Terdahulu, Nia, 31, dan suaminya, ahli perniagaan dan anak bekas menteri ekonomi Indonesia, Aburizal Bakrie iaitu Ardi Bakrie, 42, serta pemandu peribadinya, ZN, 42, ditahan di Jakarta Pusat kelmarin selepas didakwa mengambil dadah jenis syabu.

Turut beredaran di Twitter sejak semalam, imej yang dipercayai wajah terbaru Nia, 31, yang kelihatan lebih cengkung berbanding biasa.

Sebelum ini, Ketua Perhubungan Awam Polis Metro Jaya, Yusri Yunus mendedahkan, pelakon berkenaan membeli syabu tersebut pada harga 1.5 juta rupiah atau RM431.



"Nia dan Ardi mengaku mereka sudah mengambil bahan terlarang itu selama lima bulan, termasuklah pemandu peribadi mereka," jelasnya.

Sementara itu, ruangan komen dalam laman Instagram (IG) Nia telah ditutup selepas mendapat kecaman hebat akibat dakwaan penyalahgunaan dadah.

"Belum diketahui siapakah menutup kolum komentar ini. Apakah Nia sendiri, pihak pengurusan ataupun pembantu peribadi yang sering menemaninya. Apa yang pasti selepas terkait kes penyalahgunaan dadah, netizen hanya mampu menzahirkan komen dengan menghantar mesej peribadi di IG yang hanya boleh dibaca oleh Nia sahaja," ujar laporan berkenaan.


Kali terakhir Nia atau nama sebenarnya, Prianti Nur Ramadhani membuat hantaran di IG pada Isnin lalu. Foto yang memaparkan ibu kepada tiga cahaya mata bersama abang ipar turut dihujani dengan komen negatif apabila netizen mula mengecamnya.

Dalam perkembangan berkaitan, sejurus selepas tangkapan dibuat, tinjauan di kediaman mewah pelakon berkenaan yang terletak kawasan Menteng, Jakarta Pusat kelihatan sunyi sepi.

Berdasarkan temubual media Indonesia bersama salah seorang penduduk yang juga peniaga warung yang terletak berhampiran dengan rumah Nia dikenali sebagai Pak Kumis, lelaki itu memaklumkan Nia dan suaminya jarang keluar rumah.

"Mereka jarang keluar. Kalau keluar pun kita tidak sedar kerana mereka menaiki kereta," ujar Pak Kumis.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: