Mula menyertai jemaah tabligh sejak tahun lalu, selebriti popular Faizal Ismail atau mesra disapa FBI mengakui pembabitan dalam bidang penyiaran radio selama 15 tahun membuatkan diri terlalu sibuk dengan urusan dunia dan kerjaya.
Faizal atau nama sebenarnya Mohd Faizal Ismail, 45, berkata, itu adalah langkah awal dia menjaga hubungan dengan Allah SWT. Dalam pada itu, Faizal mengambil pendekatan untuk tidak berkongsi pembabitannya dengan jemaah tabligh.
"Menyertai jemaah tabligh adalah titik mula saya membuat penghijrahan atau perubahan dalam diri. Kalau dulu kita lari tengok tabligh sebab takut diajak ke masjid. Tak sangka ketika di United Kingdom (UK), rumah saya diketuk dua jemaah tabligh dari Malaysia. Dari situ saya berfikir, sejauh ini mereka nak mengajak ke arah kebaikan.
"Dalam agama kita, lelaki dituntut untuk solat berjemaah di masjid. Selama ini mungkin saya tidak ambil berat soal ini. Jadi, hubungan saya dengan Allah jauh. Pulang saja ke Malaysia, ini perkara saya fikir. Dalam masa sama ketika itu saya sudah berbulan-bulan mengalami masalah kesukaran tidur. Sampai satu tahap nak menjadi satu tekanan dan berasa kecewa.
"Saya rujuk pada kenalan ustaz dan mereka sarankan saya untuk cuba perbaiki dulu hubungan dengan Allah. Alhamdulillah, saya pandang apa yang berlaku dalam diri saya ini adalah ketentuan Allah SWT.
"Saya pulang ke tanah air pada Julai tahun lalu. Pertama kali menyertai jemaah tabligh pada November tahun lalu. Saya terbabit dalam diam saja dan memang tidak mahu hebohkan. Alhamdulillah, sehingga sekarang sudah banyak kali terbabit.
"Saya menyertai tabligh di sekitar tempat tinggal saya di kampung halaman di Pulau Pinang dan Kuala Lumpur. Sekarang saya menetap di Pulau Pinang kerana menjaga emak selepas kematian bapa. Memandangkan saya anak sulung lelaki, ia menjadi tanggungjawab saya. Kalau ke Kuala Lumpur pun atas urusan kerja," jelasnya.
Sebelum ini, Faizal yang juga bekas penyampai radio Hot FM itu menyambung pengajian dalam bidang industri kreatif di peringkat Sarjana di Universiti Cardiff, UK pada Ogos 2019.
Penularan Covid-19 di sana memaksa semua pusat pengajian ditutup dan pembelajaran diteruskan secara dalam talian. Sejak itu, Faizal mengambil keputusan pulang ke tanah air.
Berkongsi lanjut, Faizal membuat kemunculan semula di kaca TV apabila mengacarakan program La Tahzan yang mula bersiaran malam ini jam 9 malam di TV Alhijrah. Menerusi program itu, Faizal bergandingan dengan bekas penyampai radio, Abby Fana.
________________________
No comments:
Post a Comment