02 July 2021

ISTERI KOMA 10 HARI BUKA MATA - KID SEARCH PERLU RM60,000 UNTUK PEMINDAHAN SUMSUM TULANG



Isteri kepada pemain gitar kumpulan rock 'otai' Search, Kid, 54, iaitu Noraznin Yusof, 55, mula membuka mata, kira-kira seminggu lalu, selepas hampir 10 hari koma. Kid yang meluahkan rasa syukur itu memberitahu, isterinya yang disahkan menghidap kanser darah myeloma tahap empat, masih lemah dan menjalani rawatan di Hospital Conselor Tuanku Muhriz UKM (HCTM), Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur.

Kid berkata, Noraznin sepatutnya menjalani rawatan kimoterapi sebanyak enam kali. Kid atau nama sebenar Hamzah Mohd Taib memaklumkan, isterinya mula menjalani rawatan di HCTM sejak Disember lalu. Tambahnya, Noraznin hanya pernah dibenarkan pulang kira-kira dua hari sebelum sebelum kembali semula ke hospital.

"Bagaimanapun, belum habis kitaran kelima, hospital terpaksa menghentikan rawatan itu kerana fizikal isteri yang lemah. Ini ditambah jangkitan paru-paru dan degupan jantung yang turut lemah. Rawatan dijangka disambung selepas fizikal isteri stabil," jelasnya.

Sejak akhir tahun lalu, HCTM bagai menjadi rumah kedua buat mereka sekeluarga. Kid yang menetap di Bangi, berulang-alik ke hospital setiap hari atau selang sehari. Berikutan ketika ini pelaksanaan fasa pertama Pelan Pemulihan Negara (PPN), HCTM mengenakan syarat ketat ke atas pelawat. Justeru, Kid bergilir-gilir dengan dua anaknya, Deanda dan Aaqil Naquidean untuk menjenguk isteri.

"Sudah hampir tujuh bulan saya berulang-alik ke hospital. Kadang-kala saya bergilir dengan anak-anak kerana tidak dibenarkan untuk menjenguk isteri serentak. Saya akan berulang-alik ke hospital mengikut keperluan. Ada masanya setiap hari, ada masanya, selang sehari baru saya pergi. Lagipun dengan penularan COVID-19, peraturan hospital sangat ketat. Jadi, saya tidak boleh kerap berada di sana," jelasnya.

Berkongsi bagaimana penyakit isteri dikesan, Kid berkata, November lalu, salah seorang kakak iparnya disahkan menghidap barah payu dara. Kakak iparnya yang menetap di Ipoh, Perak, dihantar ke sebuah hospital di Kota Bharu, Kelantan untuk menjalani pembedahan.

Namun, belum sempat melakukannya, beliau ditakdirkan meninggal dunia. Kid berkata, isterinya membuat ujian darah, tidak beberapa lama selepas pulang dari Kelantan.

"Isteri bersama tiga lagi adik-beradik perempuannya sempat ke Kota Bharu untuk menziarah kakak mereka. Selepas kakak ipar meninggal, adik-beradik isteri berbincang untuk menjalani pemeriksaan. Mereka risau berikutan ada ahli keluarga menghidap barah.

"Bagaimanapun, keputusan ujian darah isteri keluar sedikit lewat, membuatkan saya mula berasa tidak sedap hati. Selepas keputusan ujian darah diterima, klinik memberi surat rujukan ke Bahagian Kecemasan HCTM. Hasil ujian yang dilakukan hospital, isteri dikesan menghidap kanser darah tahap empat.

"Saya sangat terkejut dan sedih dengan keputusan ujian kesihatan isteri. Selama ini, isteri tidak pernah menunjukkan tanda-tanda sakit. Setakat demam dan sembuh. Selain itu, isteri sering mengalami ulser di mulut," ujarnya.

Selain berdepan ujian penyakit barah dan prosedur kemoterapi, tambah Kid, isterinya perlu menjalani pemindahan sum sum tulang yang dianggarkan membabitkan kos hampir RM60,000. Namun, Kid berkata, beliau sudah menghantar surat permohonan bagi mendapatkan tajaan hospital bagi menjalani pembedahan itu.

Kid mengaku pada mulanya bimbang apabila mendapat tahu kos besar yang perlu ditanggung. Namun, Kid lega apabila pengurusan hospital memaklumkan HCTM menyediakan Tabung Kebajikan Pesakit.

"Setakat ini, saya tidak pasti sama ada permohonan diluluskan atau tidak. Saya lega apabila diberitahu ada bantuan yang disediakan hospital jika tidak mampu menampung kos yang tinggi untuk rawatan," katanya.

Kid juga akan membuat permohonan pembiayaan daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) berikutan isterinya pernah bekerja.

"Permohonan PERKESO akan dibuat selepas isteri selesai menjalani rawatan. Saya akan membuat permohonan itu serentak. Setakat ini, saya belum tahu lagi kos keseluruhan rawatan termasuk wad sejak sejak Disember lalu.

"Saya bersyukur masih ada sedikit simpanan dan berniaga kecil-kecilan dalam media sosial. Ada juga pendapatan diperoleh hasil kerjasama dengan Home Of Champions (HOC).

"Kami menjual pakaian dan aksesori atas nama Search selain wang royalti. Dari situlah saya membayar deposit rawatan hospital isteri setiap bulan antara RM500 hingga RM2,000," katanya.

Mendapat jolokon 'King Of Tremolo' Kid memulakan karier muzik dengan menganggotai kumpulan Gersang pada 1988. Menyertai band Search akhir 1988 ketika proses rakaman album Fenomena. Kid adalah adik kepada Nordin atau Din yang terlebih dahulu menganggotai Search.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: