14 July 2021

JALANI PEMULIHAN DI BOGOR - LOKASI NIA RAMADHANI & SUAMI TIDAK DIDEDAHKAN



"Kali terakhir bertemu Nia dan Ardi pada malam Sabtu. Ketika itu, saya mahu memastikan cadangan BNN bagi membolehkan mereka menjalankan pemulihan. Saya terpaksa meninggalkan mereka kerana ada persidangan di Bandung.

"Saya mendapat tahu, mereka ditempatkan di daerah Bogor," jelas Wa Ode Nur Zainab, peguam pelakon terkenal Indonesia, Nia Ramadhahni yang mengesahkan, Nia, 31, dan suaminya, Ardi Bakrie, 42, sudah berada di pusat pemulihan di Bogor.

Namun begitu, peguam Mia tidak berani menyebut lokasi pasangan itu kerana menghormati polis dan Badan Narkotika Nasional (BNN) yang menangani proses pemulihan Nia dan Ardi. Nur Zainab memaklumkan, Nia menangis ketika melihat video anak-anaknya ekoran sudah beberapa hari tidak bertemu tiga cahaya matanya.

"Saya kasihan melihat Nia menangis teresak-esak hingga saya turut bersedih. Saya cuma tunjukkan video anak-anaknya di telefon, bukan membuat panggilan video. Ini berlaku sebelum Nia membacakan permohonan maaf kepada keluarga dan anak-anak pada sidang media, Sabtu lalu.

Klik untuk gambar besar



"Itulah punca Nia menangis kerana menyesali perbuatannya ketika meminta maaf. Permohonan maaf dilakukan sangat menyentuh hatinya kerana teringat pada anak-anak," katanya.

Sementara itu, Ketua Narkotik Polis Metro Jakarta Pusat, Pesuruhjaya Indrawieny Panjiyoga berkata, Nia dan Ardi sudah dipindahkan dari tahanan ke pusat untuk pemulihan dan perubatan, Ahad lalu.

"Kami berusaha memindahkan Nia dan Ardi ke BNN, pagi ini," ujarnya dalam laporan kepada media Indonesia, Ahad lalu.


Panjiyoga berkata, mengikut pengakuan Nia, dia mengambil dadah jenis syabu, sejak lima bulan lalu. Namun, sebelum ini, Nia pernah mengambil barang terlarang pada saat dirinya masih bergelar pelakon sinetron. Bagaimanapun, katanya, bintang sinetron 'Bawang Merah Bawang Putih' itu mengakui sudah berhenti dan kembali menggunakannya lima bulan lalu.

"Nia akui pernah mengambil syabu ketika zaman menjadi bintang sinetron, tetapi sudah berhenti dan kembali menggunakan," katanya.

Kini, apa yang mencetuskan persoalan di manakah lokasi pusat pemulihan Nia dan Ardi ditempatkan di Bogor. Saling merahsiakan lokasi, wakil pemulihan BNN, Yosi Eka Putri juga tidak memberitahu pusat pemulihan yang menangani rawatan perubatan Nia dan Ardi. Yosi mengatakan, BNN hanya mengendalikan penilaian pemulihan untuk Nia dan Ardi. Bagaimanapun, BNN tidak mencampuri urusan rawatan dan perubatan.

"Ada beberapa senarai nama pusat pemulihan yang kami berikan kepada pihak polis. Mereka bakal menentukan Nia dan Ardi ditempatkan, bukan BNN. Jadi, anda (wartawan) boleh meminta kepastian dengan polis atau penyiasat," kata Yosi.



         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: