"Daripada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama sehingga sekarang, pelannya lebih kurang sama iaitu 'lockdown' dan duduk rumah. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pun mengatakan itu bukan cara penyelesaian yang baik untuk jangka masa panjang kerana ia meningkatkan tahap kemiskinan negara.
"Sedangkan kami penerbit iklan sentiasa ada kerja untuk pelanggan yang berbeza. Syarikat saya sendiri mengalami kerugian apabila beberapa projek ditunda atau dibatalkan serta merta sejak PKP pertama.
"Kami hanya nak kerja, bukan nak minta bantuan. Saya faham kes dan kematian akibat Covid-19 agak tinggi di negara kita. Tapi takkanlah kami nak duduk rumah menunggu sampai bila? Apa kesudahannya?" demikian kata pelakon, penerbit dan pengarah, Jehan Miskin yang merayu kerajaan supaya kembali membenarkan mereka bekerja dan bukan mengharapkan bantuan.
Nampaknya semangatnya untuk terus berjuang mempertahankan industri seni yang semakin merudum ketika pandemik Covid-19 terlalu tegar.
Jehan yang juga Setiausaha Persatuan Penerbit Filem Iklan Malaysia (PPFIM) meminta Menteri Komunikasi Dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah mengkaji semula keputusan larangan industri filem iklan beroperasi dalam fasa pertama Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Menurutnya, mereka berusaha menyesuaikan diri menerbitkan iklan sama ada dalam bentuk animasi, secara panggilan video, menggunakan alat kawalan jauh atau sebagainya.
Klik untuk gambar besar
"Diakui ada antara kami masih bertahan. Namun saya lihat ada perbezaan antara PKP pertama, kedua dan ketiga. PKP 3.0 ialah fasa yang tiada penghujung.
"Amat ketara ia berat sebelah serta pilih kasih kepada industri tertentu, walaupun industri itu banyak kluster. Ini membuatkan rakyat hilang semangat. Rakyat duduk rumah untuk apa? Dia berkorban untuk apa, bila kes makin meningkat naik oleh industri lain?" ujarnya lagi.
Jehan berkata, cara PKP fasa ini diurus tidak menampakkan kesatuan seperti PKP 1.0 di mana semangat #kitajagakita kuat di jiwa masyarakat.
"Kes positif Covid-19 dalam produksi seni bukanlah banyak berbanding bidang lain yang ada kluster besar tapi hairannya mereka dibenarkan beroperasi.
"Ramai penerbit sudah menuruti SOP (prosedur operasi standard) yang ketat diantara PKP 2.0 dan PKP 3.0 seperti membuat ujian swab untuk setiap kru di setiap set penggambaran. Ini mengurangkan risiko kluster produksi kerana sesiapa yang didapati positif dapat diganti sebelum penggambaran berlangsung," jelasnya.
Menurutnya, bidang mereka banyak diceburi oleh pekerja sambilan atau 'freelancers' dan apabila tiada kerja mereka tiada pendapatan.
"Suruh duduk rumah sebulan dua bolehlah. Tapi kalau duduk rumah berbulan-bulan tiada penghujung dan kes tak turun, macam mana perasaan kami?
"Industri kami tak dibenarkan bekerja dan tiada pendapatan, manakala bantuan pula entah bila akan sampai dan macam mana caranya. Cuba kerajaan lihat keberkesanan negara jiran seperti Korea Selatan yang berjaya melandaikan pandemik Covid-19 menggunakan keadah Track and Trace dan juga Singapura yang sudah membentangkan pelan 'To Live with Covid-19'," katanya.
Sebelum ini Presiden PPFIM, Khoo Kay Lie atau KL Khoo menyeru kepada Saifuddin untuk berjuang bagi membenarkan industri filem iklan beroperasi dalam fasa pertama PPN dengan SOP dan bukan hanya memberikan kebenaran pada fasa ketiga nanti.
KL Khoo menerusi surat terbuka bertajuk Adakah Kami Akan Dibiarkan Mati? berkata, larangan kerajaan ibarat bakal membiarkan industri perfileman yang dibina selama berdekad, mati!
________________________
No comments:
Post a Comment