12 July 2021

KELUARGA TONTON GUNA PANGGILAN VIDEO - ARWAH BENJY SELAMAT DIKEBUMIKAN



"Alhamdulillah, jenazah Ben telah selesai dikebumikan lebih kurang pukul 12.45 tengahari waktu Malaysia. Kami dapat menyaksikan pengebumian sebagai keluarga melalui panggilan video di Whatsapp daripada penjara. Pihak penjara juga memaklumkan kepada kami bahawa mereka menanggung kos pengebumian tersebut.

"Kami sekeluarga sangat berterima kasih dan terhutang budi dengan Penjara Tanjung Gusta Medan atas setiap bantuan dan urusan berkenaan Benjy, " demikian kata adik bongsu Allahyarham Benjy iaitu Inessa Irdayanty yang memaklumkan dia dan keluarganya dapat menyaksikan proses pengebumian arwah menerusi panggilan video di aplikasi WhatsApp.

Pada jam 12 tengahari waktu Malaysia, jenazah Allahyarham Benjy atau nama sebenarnya Khaeryll Benjamin Ibrahim, 43, yang meninggal dunia akibat asma, jam 11 pagi semalam, telah selamat dikebumikan di tempat Pemakaman Waqaf Pasar 4 Klambir Lima Kampung Medan, Indonesia. Proses pengebumian arwah Benjy selesai sepenuhnya pada jam 12.45 tengahari.

Berita Benjy meninggal dunia akibat penyakit asma pada Ahad di Hospital Besar Royal Prima, Medan, Indonesia mengejutkan dunia hiburan tanah air. Arwah menghidap penyakit asma yang kronik sejak beberapa tahun lalu selain turut mengalami masalah berkaitan paru-paru dan sering mendapatkan rawatan di hospital sejak kebelakangan ini.

Klik untuk gambar besar



Bersyukur semuanya berjalan dengan lancar, Inessa turut berterima kasih kepada Penjara Tanjung Gusta Medan yang menampung kos pengebumian dan semua bantuan melibatkan arwah.

Dalam pada itu, Inessa turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang berbesar hati ingin menderma bagi membantu kos bayaran pengebumian Allahyarham. Menurut Inessa, sesiapa yang berhasrat menghulurkan derma boleh berbuat demikian dengan menyalurkannya kepada pertubuhan amal pilihan atas nama arwah Benjy.

"Terima kasih kepada semua orang yang menawarkan untuk menderma bagi membantu kos bayaran pengebumian. Jika anda masih berhasrat untuk derma, saya harap anda derma di pertubuhan amal pilihan anda atas nama Ben dan juga sedekahkan Al-Fatihah. Kami nak berterima kasih lagi sekali kepada setiap pihak, individu, organisasi dan netizen atas doa serta ucapan takziah yang dikirimkan," ujarnya.


"Alhamdulillah semua urusan dipermudahkan oleh Allah untuk Benjy pulang ke 'negara' abadi. Andai ada kesilapan yang pernah arwah lakukan, saya memohon semua pihak untuk memaafkannya dunia dan akhirat. Sesungguhnya Benjy adalah seorang manusia yang sangat kuat dan hebat untuk lalui segalanya dengan sendiri sehingga hujung nyawa," jelasnya.

Benjy ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Namu, Deli Serdang Sumatera Utara oleh pihak Kastam dan Eksais republik itu sejurus tiba dari Kuala Lumpur pada April 2017.

Anak sulung kepada Allahyarham Azean Irdawaty ini disyaki memiliki dadah jenis syabu seberat 4.5 gram yang disembunyikan pada bahagian duburnya. Pada 18 Oktober 2017, Benjy dijatuhi hukuman penjara selama 11 tahun tiga bulan selepas didapati bersalah oleh Mahkamah Daerah Medan, Indonesia.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: