Pelakon Aman Graseka meluahkan rasa terharu apabila seorang artis wanita sanggup membiayai kos bersalin isterinya, Nurul Amrina Zamri yang dijangka bulan depan. Aman berkata, selain itu seorang penerbit dan peminat juga memberikan sumbangan sejak mengetahui kesukaran yang dilaluinya.
"Allah masih sayangkan saya dengan memberi bantuan daripada hamba-Nya yang lain. Alhamdulilah, artis itu membiayai kos untuk bersalin dan rawatan di hospital nanti. Kami amat terharu sebaik mendapat berita ini. Air mata saya rasa seperti nak menitik atas kebaikannya.
"Dia minta kami cari hospital yang tak bercampur dengan pesakit lain dan khusus untuk ibu-ibu bersalin saja. Memang kami kenal dia tapi tak sangka dia mesej terus dengan isteri saya sebaik baca artikel yang dikeluarkan Harian Metro semalam," katanya.
Aman mengakui sebelum ini pernah menghubungi rakan-rakan untuk membuat pinjaman peribadi: "Mungkin kerana ini ada dalam kalangan mereka yang menolong saya untuk mendapatkan sedikit sumbangan peribadi daripada orang lain," ujarnya.
Hari ini, Pengerusi Yayasan Kebajikan Artis Tanahair (YKAT), Datuk DJ Dave berjanji akan cuba menyalurkan bantuan bagi meringankan beban Aman.
Sebelum ini, Aman yang melakonkan watak Datuk Maharaja Lela dalam filem '1875' meminta penerbit dan pengarah filem terbabit menjelaskan baki bayaran sebanyak RM25,000 yang tertunggak sejak empat tahun lalu.
Aman yang kini menetap di kampung halaman isterinya, Nurul Amrina Zamri di Padang Geh, Kuala Ketil, Kedah sudah dua tahun hilang punca pendapatan akibat penularan pandemik Covid-19 yang mengehadkan peluangnya untuk berlakon. Dia juga buntu untuk mendapatkan wang apabila isterinya dijangka melahirkan anak kedua mereka bulan depan.
________________________
No comments:
Post a Comment