30 July 2021

ZALEHA, MAT SENTOL TERIMA BANTUAN



Penyanyi veteran, Zaleha Hamid, 65, dilaporkan belum berupaya bangkit dan masih lemah, malah sesekali mengadu lenguh dan sakit badan. Sekian lama terbaring, Zaleha yang diserang angin ahmar selepas terjatuh dalam bilik di rumahnya di Johor Bahru lebih setahun lalu, bergantung harap kepada suami, Ungku Sulaiman Ungku Aziz, 56, untuk menguruskan keperluan diri.

Ungku Sulaiman yang terpaksa berhenti kerja sebagai pengawal keselamatan bagi menjaga Zaleha kerap menyapu minyak urut dan menggerakkan anggota tubuh isterinya agar segar dan bertenaga.

"Alhamdulillah, isteri sihat. Bagaimanapun, keadaannya masih lemah disebabkan strok. Isteri saya belum boleh bangun dan hanya terbaring. Disebabkan itu, dia mengadu lenguh dan sakit badan. Jadi, saya kerap menyapu minyak pada badannya selain melakukan sedikit senaman," katanya.

Pada era 1980-an, Zaleha cukup dikenali sebagai penyanyi dangdut dengan himpunan lagu hit seperti 'Jangan Kau Tangiskan', 'Dangdut Reggae', 'Kerana Pengalaman' dan 'Pria Idaman'.

Berbanding hari ini, kesihatan Zaleha atau nama sebenar, Siti Zaleha Abdul Hamid lebih baik. Tahun lalu, Zaleha dilaporkan terlantar dan hanya mampu mengerdipkan mata sebagai tanda isyarat.

Ungku Sulaiman berkata, dia dan isteri sudah berpindah ke rumah baharu di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Uda Utama, Taman Uda Utama, Johor Bahru, Februari lalu.

Klik untuk gambar besar



"Alhamdulillah, selepas tiga kali membuat permohonan sejak 2012, akhirnya kami dapat unit PPR, ringanlah tanggungan saya. Kalau hendak dibandingkan, kadar sewa rumah lama RM700. Alhamdulillah, kami selesa di sini dan jiran semuanya baik. Ada yang datang menziarah isteri dan beri sumbangan, makanan semua cukup, tiada yang kurang," jelasnya.

Ungku Sulaiman terharu masalah kesihatan Zaleha mendapat perhatian Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad yang bertandang ke rumah mereka bagi menyerahkan sumbangan wang tunai RM500 menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) Ihsan Johor 3.0, baru-baru ini.

"Pejabat Menteri Besar menghubungi saya beritahu mahu menjenguk isteri. Mereka datang ke rumah, Ahad lalu. Saya terharu kerana masih ramai yang mengambil berat dan mahu tahu keadaan isteri saya. Bukan sahaja Menteri Besar, peminat isteri juga menghulurkan sumbangan dan barang dapur," ujarnya.

Sementara itu, pelakon veteran, Mat Sentol turut menerima bantuan kerajaan negeri yang disampaikan sendiri Hasni di kediamannya. Roslee Rashid, 59, iaitu anak Mat Sentol atau nama sebenar, Abd Rashid Yahaya, 88, memberitahu, bantuan kewangan itu sedikit sebanyak melegakan keluarganya yang turut menerima impak penularan COVID-19: "Terima kasih atas bantuan ini, Alhamdulillah, ini rezeki kami," katanya.

Berkongsi perkembangan Mat Sentol, Roslee berkata, ayahnya hanya duduk di rumah berikutan penularan COVID-19 yang semakin meningkat.


"Saya harap orang ramai faham apabila saya terpaksa mengehadkan kehadiran tetamu demi kepentingan bapa kerana risau dengan penularan jangkitan COVID-19 sekarang. Saya cukup berjaga-jaga dalam soal ini.

"Selepas kunjungan Menteri Besar tempoh hari, saya selalu memeriksa kesihatan bapa saya. Alhamdulillah, tiada selsema dan sebagainya. Saya juga tidak mahu mengganggu bapa berehat. Orang sudah berusia, biasalah, ada masa letih dia rehat dan tidur," katanya.

Sementara itu, seorang lagi penerima sumbangan adalah penggiat seni silat dan teater Johor, Othman Jupri, 72. Othman berkata, COVID-19 menyebabkan beliau hilang pendapatan kerana tidak boleh mengajar silat dan teater.

Bagi menampung hidup, Othman bergantung kepada wang yang dikirim dua anaknya yang bekerja di Singapura: "Memang rindu dengan anak. Demi mencari rezeki, sudah dua tahun mereka tidak boleh balik ke Johor," tuturnya.

Kerajaan Johor menyediakan dana RM500,000 untuk diagihkan kepada 11 badan gabungan yang berdaftar di bawah Majlis Kebudayaan Negeri Johor dan Majlis Kebudayaan Daerah. Seramai 958 penggiat seni di Johor menerima RM500 setiap seorang.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: