19 July 2021

MASUK HOSPITAL - EZAD LAZIM ALAMI GASTRIK KRONIK



Pada malam semalam, penyanyi Ezad Lazim telah ditahan di Hospital Putrajaya selepas diserang gastrik kronik (Gerd). Isterinya, Zeana Ramli ketika dihubungi berkata, suaminya menunjukkan gejala awal apabila mengalami muntah-muntah dan tidak lama kemudian, diserang panik.

"Semalam, selepas Maghrib, dia mula muntah-muntah kerana makan durian. Selepas itu, dia diserang 'panic attack' dan mula rasa kebimbangan (anxiety) yang tak dapat dikawal.

"Dia risau juga sebab hari ini, sepatutnya dia mendapat suntikan kedua vaksin di Putrajaya. Jadi, sesi pengambilan vaksin pun terpaksa ditunda. Saya bawa dia ke hospital sekitar jam 11 malam semalam. Tapi, doktor tak benarkan saya menunggu dan disuruh pulang," katanya.

Tambah Zeana, keadaan suaminya pada awalnya tidak ada sebarang masalah memandangkan kali terakhir Ezad diserang Gerd adalah pada 2018.

"Ezad, sebelum itu ke Gua Musang untuk kerja-kerja pertanian. Dia ada surat kebenaran merentas untuk tujuan pertanian dari Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti).

Klik untuk gambar besar



"Ketika di sana, dia mencari benih untuk beberapa tanaman sebab kami merancang untuk mengerjakan dusun berikutan kerja-kerja seni pun tak dapat dijalankan dalam masa pandemik sekarang. Jadi, ada juga dia bawa balik buah durian dari sana," jelasnya.

Hari ini, Ezad masih lagi ditahan dan tidak dibenarkan pulang untuk mengelakkan risiko lain.

"Doktor beritahu kalau bawa pulang, risiko akan dihadapi adalah kematian memandangkan asid dan gula dalam darahnya juga agak tinggi.

"Saya jadi risau sebab dalam situasi Covid-19 seperti sekarang, tak dapat pula nak menemaninya di hospital. Mulalah macam-macam perkara bermain dalam fikiran saya. Apapun, saya mohon doakan semuanya dipermudahkan untuk suami saya dan dia diberikan kesembuhan segera," tuturnya.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: