09 July 2021

MENINGGAL SEBAB COVID-19 - POLIS IZIN BAWA PULANG JENAZAH AZIZAN RABBANI KE PERAK



"Pihak hospital dah sahkan punca kematian Allahyarham adalah disebabkan positif Covid-19. Jenazah boleh dituntut ahli keluarga hari ini. Jenazah akan disemadikan di kampung halamannya di Behrang, Perak.

"Polis beri syarat kepada ahli keluarga untuk buat report jika mahu bawa pulang jenazah ke Perak. Polis juga mahu pastikan tanah perkuburan tersebut menerima jenazah pesakit Covid-19 sebab berdasarkan pengalaman polis sebelum ini ada sesetengah pihak masjid dan tanah perkuburan tidak terima," kata ketua kumpulan nasyid Rabbani, Azadan Abdul Aziz, 48.

Azadan memaklumkan, jenazah Allahyarham bekas ahli kumpulan tersebut, Azizan Khalid akan dikebumikan di kampung halamannya di Behrang, Perak dan diuruskan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Pada pukul 10 pagi Rabu, Allahyarham Azizan, 46, disahkan meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Kuala Lumpur. Arwah meninggal dunia selepas mengalami sesak nafas secara tiba-tiba dan meninggal dunia ketika sedang mendapatkan rawatan di hospital.

Klik untuk gambar besar



Sementara itu, Azadan turut menyatakan isteri dan anak perempuan Azizan kini perlu menjalani ujian calitan dan melakukan kuarantin kendiri selama dua minggu.

"Segala urusan pengebumian akan diuruskan oleh pihak KKM, jadi isteri dan anak perempuan Allahyarham juga kena buat swab test dan kuarantin selama dua minggu," jelasnya lagi.

Untuk makluman, Allahyarham Azizan meninggalkan seorang balu dan seorang cahaya mata perempuan. Azizan menyertai Rabbani yang popular dengan lagu 'Intifada' dan 'Pergi Tak Kembali' pada tahun 1997 sebelum menarik diri pada 2001.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: