27 July 2021

PEGUAM SITI NORDIANA: "TIADA PERMOHONAN MAAF, MEMANG WAJAR KES DIBAWA KE MAHKAMAH"



"Kalau tiada permohonan maaf, bagi saya memang wajar untuk kes dibawa ke mahkamah. Ini disebabkan walaupun Instagram Live itu sudah dipadamkan oleh mereka, akan tetapi ia masih boleh ditonton dan diakses di YouTube.

"Saya percaya, mana-mana pihak masih boleh akses di YouTube untuk menontonnya. Maka, selagi tiada permohonan maaf terhadap Siti Nordiana dan dia pula berdiam diri tanpa ambil tindakan, maksudnya dia mengiyakan apa yang dikatakan oleh lima individu berkenaan," kata peguam dilantik Siti Nordiana, Abang Azlan Abang Ariffin.

Abang Azlan menyifatkan tindakan undang-undang yang bakal diambil Siti Nordiana ke atas lima individu terbabit pada sesi siaran langsung di laman Instagram, baru-baru ini adalah wajar.

Ia berikutan bagi membersihkan nama penyanyi itu daripada dakwaan berunsur fitnah yang jelas boleh menjejaskan maruah dan reputasi kerjaya seninya.

Pada Jumaat lalu, Siti Nordiana atau lebih mesra disapa sebagai Nana, membuat laporan polis bersama Abang Azlan dari Abang Azlan & Associates di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras terhadap lima individu yang didakwa memfitnahnya menerusi sesi siaran langsung di Instagram.

Sehubungan itu, notis tuntutan permohonan maaf secara terbuka sudah dihantar Siti Nordiana menerusi peguamnya kepada lima individu terbabit melalui e-mel dan juga serahan tangan, semalam.

Klik untuk gambar besar



Abang Azlan ketika dihubungi berkata, jika tiada permohonan maaf dibuat, baginya memang wajar untuk kes itu dibawa ke mahkamah walaupun video Instagram Live berkenaan sudah dipadam oleh semua individu terbabit.

Menurut Abang Azlan, walaupun ia sesi luahan perasaan di media sosial, namun pihak terbabit tidak sepatutnya melayan kehendak peminat atau netizen yang masih nak tahu mengenai status hubungan mereka dan itu bukan caranya.

Semalam, lima individu terbabit iaitu penyanyi Lan Solo, Syura, isteri Lan iaitu Sheila, jurusolek Aida G dan pegawai perhubungan awam syarikat rakaman FMC, Sam Samin sudah menyerahkan perkara ini kepada peguam untuk tindakan selanjutnya.

Terdahulu, isu tercetus apabila nama Nana disebut dalam sesi siaran langsung di Instagram penyanyi Lan Solo, Syura, isteri Lan iaitu Sheila, jurusolek Aida G dan pegawai perhubungan awam syarikat rakaman FMC, Sam Samin pada 20 Julai lalu.

Pada sesi itu Shiela meluahkan rasa terkilan apabila suaminya, Lan dikatakan menumpang populariti Siti Nordiana. Malah, ia menjadi medan untuk mereka meluahkan apa yang terbuku di hati selama ini membabitkan konflik yang berlaku.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: