06 July 2021

PERNAH DIJANGKITI COVID-19 - TIZ ZAQYAH MASIH TRAUMA, TAK SABAR DIVAKSIN



Ramai di antara selebriti dan penggiat seni tanah air sudah dijangkiti Covid-19 ini yang disifatkan musuh tersembunyi. Ini termasuklah pelakon Tiz Zaqyah yang sah positif virus tersebut pada 9 Mei lalu. Justeru, ketika itu, Tiz harus menjalani sesi kuarantinnya di rumah.

Tiz atau nama sebenarnya Siti Zaqyah Abdul Razak berkata, meski sudah bebas dan sembuh sepenuhnya dari wabak tersebut, dia masih belum melupakan pengalaman dilaluinya, malah trauma dengan kejadian itu.

Terdahulu, Tiz tampil berkongsi kisahnya pada sesi webinar bertajuk Derita Akibat Covid-19 anjuran Science Media Centre (SMC) Malaysia dan The Petri Dish, baru-baru ini.

"Sebaik disahkan postif Covid-19 pada Mei lalu, saya jadi sangat cemas dan perasaan bercampur-baur. Ditambah, saya berasa sangat tertekan kerana kedua ibu bapa saya secara tidak langsung adalah kontak rapat.

"Jadi, ada kemungkinan besar mereka juga akan dijangkiti. Walaupun saya tidak mempunyai simptom ketika itu, tapi saya amat bimbangkan risiko jangkitan kerana menetap bersama mereka," katanya.

Klik untuk gambar besar



Ujar Tiz, sukar untuk dia membayangkan jika ibu bapanya turut dijangkiti virus itu. Katanya, dia betul-betul berasa tertekan apabila terus memikirkannya, selain di dalam hati sangat sedih.

"Bayangan bahawa kedua ibu bapa mungkin berisiko untuk dijangkiti Covid-19 sentiasa menghantui saya setiap hari. Saya jadi bimbang dengan fikiran yang tidak menentu.

"Justeru, sebaik disahkan pulih dari Covid-19, saya tak tunggu lama untuk memastikan mereka sudah didaftar untuk program vaksinasi. Alhamdulillah, mereka juga sudah menerima vaksin dos pertama masing-masing," ujar Tiz.

Berbicara juga mengenai dirinya, Tiz berkata dia memang teruja mahu mendapatkan vaksin Covid-19 seperti orang lain. Namun, buat masa sekarang dia harus menunggu seketika untuk gilirannya.


"Sebagai bekas pesakit Covid-19, saya difahamkan perlu menunggu tiga bulan lagi sebelum boleh divaksinasi kerana masih mempunyai antibodi mencukupi di dalam badan untuk melawan virus itu.

"Apapun, saya sebenarnya memang tidak sabar untuk mendapatkan vaksin. Pada ketika ini, pengambilan vaksin sangat penting bagi saya yang pernah dijangkiti Covid-19.

"Pengalaman menghidap Covid-19 menyebabkan saya rasa trauma dan ingin mendapatkan perlindungan segera untuk diri sendiri kerana tidak mahu dijangkiti berulang," jelasnya lagi.

Menurut pelakon filem 'Cinta Kura-Kura' dan drama 'Nur Kasih' itu, pengambilan vaksin penting untuk melindungi diri, keluarga dan komuniti setempat. Katanya, kini vaksin bukan lagi pilihan sendiri, tapi ia adalah tanggungjawab sosial.

Sehubungan itu, Tiz menyeru masyarakat supaya segera divaksinasi dan tiada apa yang harus dibimbangkan. Katanya, untuk jaminan keselamatan kita semua, langkah vaksinasi adalah paling tepat dan usah menunggu atau melepaskan tarikh temujanji yang diperolehi.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: