01 July 2021

PROJEK AMAL - SYAFIE NASWIP SANGGUP LELONG TROFI FFM25, TAKKAN AMBIL SATU SEN



Pelakon Syafie Naswip, 29, sanggup melelong trofi Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik yang dimenanginya di Festival Filem Malaysia ke-25 (FFM25) menerusi filem 'Songlap', dalam usaha membantu orang ramai yang terkesan akibat penularan Covid-19.

Walaupun berat hati untuk melelong trofi itu, Syafie memberitahu dia perlu ada wang untuk membantu orang yang dalam kesempitan ketika ini.

"Selain melelong pakaian-pakaian saya pada harga RM10 hingga RM50 untuk projek amal ini, saya juga dengan rela hati nak lelong trofi FFM25 ini dengan membuka tawaran harga dari RM10,000.

"Bagi sesiapa yang berminat boleh membida harga trofi ini. Wang dari jualan itu nanti keseluruhannya akan saya guna untuk membeli barang keperluan bagi membantu golongan memerlukan. Saya takkan ambil satu sen pun untuk kegunaan peribadi," katanya.

Klik untuk gambar besar



Menurut Syafie, dia dan adiknya begitu sedih melihat kesusahan hidup yang ditanggung ramai orang ketika ini akibat penularan Covid-19 yang belum menunjukkan tanda-tanda akan berakhir.

"Kami fikir dengan cara melelong trofi kemenangan ini adalah kaedah terbaik untuk kami dapatkan wang bagi membantu orang lain yang dalam kesusahan ketika ini. Untuk kami, Insya Allah boleh lagi bertahan dan teruskan usaha mencari rezeki selagi termampu.

"Saya juga berasakan pada masa sekarang, kita tak payah salahkan sesiapa termasuk kerajaan atau orang di sekeliling kita. Ini kerana tak ada siapa pun yang minta perkara ini berlaku. Sekarang, kita terus sebarkan kasih sayang yang ada untuk kuatkan sekeliling kita," ujar Syafie.


Dalam masa sama, Syafie mendedahkan setiap hari dia banyak menerima kiriman mesej di Instagram daripada orang ramai yang memerlukan bantuan meminta dibeli barang keperluan dapur serta barangan bayi seperti susu dan lampin pakai buang.

"Ada juga yang minta dibantu kewangan, dapat dikirimkan RM20 pun dah okay bagi mereka. Melihat situasi ini, hati saya memang tersentuh. Jadi, saya dan adik ambil inisiatif buat jualan 'preloved' baju dan trofi ini.

"Apapun untuk trofi yang nak dilelong, pembida berminat setakat ini meletakkan harga RM2,000. Jadi, saya akan tunggu sehingga mencapai harga lelong yang disasarkan. Insya-Allah, usaha kami ini akan berjaya," jelasnya.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: