19 July 2021

SELEPAS BAPA & ANAK - PU ABU PULA POSITIF COVID-19



"Petang tadi saya dapat keputusan bahawa result PCR saya positif. Setakat ini saya bergejala... batuk, muntah, badan jadi lesu, cirit-birit, sakit kepala dan baru-baru ni saya hilang deria rasa. Saya buat swab test sebab saya rasa demam dan sakit kepala," ujar Pencetus Ummah (PU) Abu Sufyan.

Ujian demi ujian terpaksa dilalui PU Abu atau nama sebenarnya Mohd Abu Sufyan Mokhtar Rozaidi apabila kini dia pula disahkan positif Covid-19, selepas bapa dan anaknya yang sebelum ini positif virus berkenaan.

PU Abu berkata, dia baharu sahaja dimaklumkan tentang perkara itu petang Ahad selepas menjalani ujian Tindak balas Berantai Polimerase (RT-PCR) di sebuah klinik di Gombak, pada Sabtu

Pada Mei lalu, bapanya, Mohd Mokhtar Rozaidi, 58, menerima rawatan hingga terpaksa ditidurkan di wad ICU Hospital Selayang akibat Covid-19 tahap lima. Bagaimanapun bapanya kini sudah dibenarkan keluar hospital namun masih memerlukan pemantauan rapi.

Namun pada 4 Julai lalu anaknya pula, Muhammad Adam Aysar, 3, turut dikejarkan ke hospital selepas mengalami demam panas, juga akibat Covid-19.

Klik untuk gambar besar



Dalam pada itu, Abu memberitahu, dia belum mengetahui punca jangkitan tersebut berikutan hanya tinggal sendirian di rumah. Ujarnya, ahli keluarga yang dijangkiti sebelum ini sudah habis tempoh kuarantin dan tidak bergejala.

"Saya tak pasti terjangkit daripada siapa, sebab ahli keluarga saya dah habis tempoh kuarantin dan tidak bergejala. Kemungkinan sebab kawasan Selangor dan KL ni yang agak risiko, mungkin daripada situlah.

"Saya tinggal seorang diri di rumah, jadi tiada ahli keluarga yang perlu buat swab test dan saya jalani kuarantin di rumah sendiri," katanya.

Untuk makluman, PU Abu berkahwin dengan Ain Afini pada Ogos 2018. Pasangan ini dikurniakan cahaya mata lelaki bernama Muhammad Adam Aysar, 3. Abu turut mempunyai seorang lagi cahaya mata iaitu Muhammad Uwais Mateen, 1, hasil perkahwinannya dengan Hana Azraa.



         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: