10 July 2021

SITUASI SEMASA & RAMAI PENGIAT SENI TERJEJAS - PFM CADANG FFM31 DITANGGUHKAN



Berikutan situasi semasa dan ramai penggiat seni terjejas akibat pandemik COVID-19, persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM) minta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) untuk mempertimbangkan semula keputusan penganjuran acara berprestij Festival Filem Malaysia Ke-31 (FFM31) yang dijadualkan berlangsung pada Oktober depan.

"Kami berterima kasih kepada FINAS sentiasa prihatin dan terlalu banyak membantu dalam pembangunan industri perfileman tempatan. Mengambil kira pandangan dan pendapat dalam kalangan ahli PFM, penerbit dan penggiat seni, jawatankuasa PFM mendapati penganjuran FFM31 pada tahun ini tidak sesuai diteruskan.

"Ini disebabkan sambutan hambar diterima berikutan industri perfileman berdepan situasi penuh keperitan dan kegetiran dalam mencari pendapatan menyara kehidupan. Sebagai persatuan berkepentingan dalam pembangunan industri perfileman dan mewakilkan penggiat seni, PFM harap FFM31 dapat ditangguhkan kepada masa dan keadaan lebih sesuai, tahun hadapan," kata Pansha.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan semalam, presiden PFM, Pansha berkata, sehingga kini, kebenaran untuk menjalankan aktiviti penggambaran masih belum dapat dilaksanakan. Katanya, agak janggal jika acara berprestij itu diteruskan kerana FINAS akan dilihat seperti tidak sensitif dengan situasi semasa.

"Bayangkan, bagaimana kita mahu meraikan segelintir penggiat seni yang berjaya dalam majoritinya menghadapi keperitan hidup untuk kelangsungan hidup. Negara lain melaksanakan festival filem dalam situasi jauh berbeza, bukan seperti keadaan di Malaysia," terangnya.

Bagi memastikan nasib penggiat industri terbela, PFM menyarankan, FINAS menggunakan bajet penganjuran FFM31 untuk membantu mereka yang terkesan.

"PFM faham FINAS bukan agensi kebajikan dan tertakluk kepada Akta 244. Dalam kesinambungan usaha dan fokus kerajaan memerangi pandemik, jadi wajar peruntukan FFM31 dapat dimanfaatkan dengan menyegerakan dan menambah program yang boleh membantu penggiat seni secara keseluruhan.

"Keutamaan adalah meningkatkan semula ekonomi bagi keseluruhan penggiat seni tanpa mengira bangsa, agama dan kefahaman politik agar mereka bekerja seperti biasa serta tidak hanya bergantung kepada subsidi kerajaan," ujar Pansha.

Sebelum ini, timbul desakan dalam kalangan penggiat seni yang mahu memboikot penganjuran FFM31 atas alasan yang sama. Mengulas perkara itu, Pengerusi FINAS, Zakaria Abdul Hamid berkata, desakan tidak akan menjejaskan keputusan perbadanan itu untuk meneruskan acara berprestij selepas tertangguh selama dua tahun.

"FFM31 sudah dirancang lama selepas tertangguh dua tahun. Kami yakin menjelang FFM31, pandemik COVID-19 beransur baik selepas kita mencapai tahap imuniti 80 peratus melalui pemberian vaksin.

"Lebih banyak sektor ekonomi termasuk aktiviti penggambaran akan dibuka dan rancak semula menjelang Ogos dan September. Menjelang detik ini, penggiat seni akan mula aktif bekerja," jelasnya.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: