Pelakon Lana Nodin sebelum ini menggesa Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Datuk Seri Dr. Noor Hisham meletakkan jawatan susulan kes yang dicatatkan naik mendadak. Dek kerana kenyataan itu, nama Lana hangat diperkatakan di media sosial.
Susulan kritikannya itu juga, Lana dikecam teruk oleh netizen yang menyuruhnya pulang ke negara suaminya di Amerika Syarikat. Tidak melatah dengan kecaman tersebut, Lana berkata dia berhak bersuara sebagai rakyat Malaysia.
"Apa hak mereka mahu suruh saya ‘berambus’ balik negara suami (Amerika Syarikat)? Saya rakyat Malaysia, dilahirkan di negara ini. Saya ada hak untuk bersuara. Sekarang ini bukan saya seorang sahaja yang menghentam beliau (Noor Hisham), ramai lagi rakyat Malaysia menyuarakan pendapat yang sama.
Klik untuk gambar besar
"Ramai yang hentam saya sebab lantang sehingga menyuruh saya untuk pulang ke AS. Kenapa saya kena 'berambus'? Malaysia negara saya. Kalau balik ke sana sekali pun, saya tetap akan bersuara sebab saya rakyat negara ini," katanya.
Dalam pada itu, Lana turut dikatakan tidak mengenang budi kerana mengkritik Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedangkan sebelum ini pernah berjasa menyelamatkan nyawa anak keduanya.
"Tentang anak saya sakit dengan kelantangan saya bersuara tidak menjadi isu sebenarnya. Masa anak saya sakit, dia bukan dirawat secara percuma di negara ini. Saya bayar kos perubatan anak saya. Saya tidak minta derma pun. Malah saya bayar setiap sen kos perubatan anak saya," ujarnya.
Jelas Lana lagi, dia lantang bersuara kerana sudah lama bersabar dengan tindakan kerajaan ‘mengurung’ rakyat dalam tempoh yang lama, tetapi masih tiada perubahan.
"Sudah dua tahun rakyat dikurung. Saya sebagai rakyat marah sebab banyak benda terjejas termasuk ekonomi rakyat. Mahu tunggu berapa tahun lagi?" soalnya.
Tegas Lana, dia tidak takut jika kelantangannya itu membuatkan karier lakonannya terjejas kerana dia percaya bahawa rezeki telah diatur oleh Allah.
________________________
No comments:
Post a Comment