11 July 2021

TANPA KOMITMEN, TEKANAN HIDUP - AMELIA HENDERSON BAHAGIA HIDUP SOLO



Pelakon Amelia Henderson yang pernah melayari episod kegagalan dalam perkahwinan pada 2018 itu berkata ia bukan satu perkara yang mudah untuk dihadam sekelip mata. Pelakon berdarah campuran Sri Lanka-Scotland itu mengakui dia kini bahagia melayari kehidupan solonya tanpa komitmen atau berdepan tekanan hidup.

"Saya seronok melayari kehidupan sekarang sebab saya tak perlu nak fikir apa-apa masalah. Lagipun jadual kerja saya sentiasa padat dan ada saja perancangan baharu yang saya ingin lakukan. Masa yang terluang saya isi dengan perkara yang menyeronokkan seperti membuat panggilan video dengan rakan-rakan, bermain TikTok serta meluangkan waktu bersama keluarga.

"Saya gembira dengan kehidupan sekarang dan tiada sedikit pun perasaan sunyi. Saya ada kawan-kawan yang sangat menyokong dan akan memastikan saya berada dalam keadaan yang baik. Buat masa ini, saya belum terfikir untuk ada sebarang komitmen dengan mana-mana lelaki. Saya selesa dengan kehidupan solo ini," kata wanita berusia 26 tahun itu.

Mengakui kehidupan yang dinikmati kini dipenuhi dengan kebahagiaan dan kasih sayang daripada orang sekeliling, Amelia juga seronok menyusun waktu terluang dengan melakukan perkara berfaedah.

Klik untuk gambar besar



Terbaharu, Amelia mula terbabit dengan aktiviti melukis sekiranya ada waktu terluang. Biarpun melukis bukan minat utamanya, namun sejak arwah bapanya meninggal dunia tiga tahun lalu, dia cuba mengikuti jejak langkah bapanya itu. Amelia turut berkongsi hasil karya lukisannya akaun Instagram khas iaitu artmeliath.

"Sebenarnya saya tak pernah minat melukis, tapi sejak ayah meninggal tiga tahun lalu saya cuba belajar perlahan-lahan. Ayah saya sebelum ini adalah arkitek dan dia sangat pandai melukis. Melihat hasil lukisannya yang hebat, saya dapat inspirasi dan sekarang cuba belajar.

"Saya percaya dengan cara ini saya akan rasa dekat dengannya walaupun dia sudah tiada. Saya juga suka melukis setiap kali saya 'stress', ia akan membantu saya jadi lebih tenang. Sejujurnya saya tiada perancangan untuk menjual lukisan yang saya buat. Saya belum rasa cukup berbakat untuk melukis. Saya akui kena banyak lagi berlatih dan membuat lukisan yang pelbagai sebelum nak fikir ke arah itu," ujarnya.



Biarpun kerjaya seninya terdedah dengan populariti dan glamor, namun Amelia tetap merendah diri dan mahu berbakti kepada masyarakat. Baru-baru ini, Amelia berkhidmat membantu negara menangani penularan virus Covid-19 selepas berpeluang menjadi sukarelawan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi.

"Mulanya ada kenalan di PPV UKM ajak saya untuk jadi sukarelawan di sana. Sebaik saya tiba, ada pula kawan-kawan artis yang turut sama berbakti dan menghulurkan bantuan. Satu pengalaman yang sangat menyeronokkan kerana ini adalah tanggungjawab saya sebagai rakyat Malaysia untuk sama-sama membantu menangani Covid-19.

"Saya bakal mendapat dos kedua vaksin pada 14 Julai ini. Saya akan meneruskan aktiviti sukarelawan dengan lebih kerap jika diberi peluang lagi. Saya tahu yang PPV sekarang ini tidak cukup tangan. Mereka memerlukan bantuan untuk menguruskan proses pemberian vaksin," jelasnya.



         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: