29 August 2021

"ALLAH BAGI SAYA PELUANG & NYAWA KEDUA..." - FAZLI BERSYUKUR DAH PULIH COVID-19, TURUN 10KG



Penyanyi Fazli Zainal, 43, meluahkan rasa syukur apabila dia akhirnya pulih daripada virus Covid-19 dan dibenar balik ke rumah, semalam, selepas 29 hari menerima rawatan di Hospital Ampang.

Fazli yang kini menetap di kediaman sahabatnya, Delly yang juga guru vokal, dihubungi berkata meskipun sudah pulih, dia harus menjalani proses rawatan pemulihan sepenuhnya.

"Alhamdulillah, saya dah bebas daripada Covid-19 dan dapat pulang ke rumah. Kini, saya harus memberi tumpuan untuk rawatan pemulihan saja. Selama saya dirawat di hospital, berat badan turun 10 kilogram (kg) dari 78 kg kini 68 kg.

"Syukur Alhamdulillah juga, walaupun paru-paru saya rosak 75 peratus dan perlu masa untuk baik semula, tapi Allah masih pinjamkan suara dan tak serak langsung sekarang. Namun, saya kena menjaga pemakanan dan kekal positif selalu.

Klik untuk gambar besar



"Allah bagi saya peluang dan nyawa kedua untuk teruskan hidup, berbakti dan sebarkan kebaikan," ujar penyanyi lagu 'Harapan' ini.

Menurut Fazli, dia juga bersyukur boleh tidur dengan baik tanpa perlu menggunakan bantuan pernafasan lagi. Katanya, bagaimanapun pihak hospital ada membekalkan oksigen lima liter dibawa balik ke rumah.

"Bekalan oksigen itu untuk 'standby' saja apabila kecemasan sekiranya saya mengalami masalah pernafasan di rumah. Namun, setakat ini saya dah boleh bernafas sendiri dengan baik.


"Saya ucapkan terima kasih kepada semua yang sudah mendoakan kesihatan saya selama ini. Sekarang, apa yang saya mahu lakukan ialah menyusun semula aktiviti kerjaya seni," katanya.

Difahamkan petang esok, Fazli akan mengadakan sidang media virtual sempena pelancaran single terbaharu berjudul 'Mantan Yang Terluka' ciptaan komposer Ajai dan liriknya nukilan Ahmad Fedtri Yahya.

Terdahulu, Fazli dimasukkan ke Hospital Ampang pada 31 Julai lalu kerana tahap oksigen dalam badannya turun sehingga 75 peratus akibat positif Covid-19 dan dia menjalani kuarantin kendiri di rumah selama seminggu.

Fazli juga belum mengambil suntikan vaksin Covid-19 dos pertama yang sepatutnya pada 23 Julai lalu apabila dia sudah dijangkiti sebelum tarikh itu.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: