06 August 2021

BAYI SELAMAT DILAHIRKAN - SITI SARAH MASIH KRITIKAL & BELUM SEDARKAN DIRI



"Alhamdulillah dalam pukul 4 lebih baby berjaya dikeluarkan dan dalam keadaan baik tapi perlukan alat bantuan pernafasan kerana lahir pra matang. Cuma keadaan Sarah agak kritikal. Saya sekeluarga mohon semua teruskan doa untuk Siti Sarah.

"Juga doakan sesiapa sahaja yang sedang bertarung Covid-19 dipermudahkan urusan," demikianlah kata pelawak Shuib Sepahtu memaklumkan isterinya, penyanyi Siti Sarah selamat melahirkan bayi lelaki secara pembedahan pada usia kandungan lapan bulan kira-kira pukul 4 petang Jumaat, atas berkat doa orang ramai.

Shuib dalam masa sama turut memberitahu bayi lelakinya itu berada dalam keadaan baik namun memerlukan alat bantuan pernafasan. Manakala, Sarah masih berada dalam kritikal dan belum sedarkan diri.

Pengurusnya, Nana Mohamad Rom memaklumkan Sarah masih belum sedarkan diri dan memohon orang ramai mendoakan agar dipermudahkan segala urusan.

Klik untuk gambar besar



"Untuk makluman Sarah melahirkan bayi lelaki kira-kira jam 5 petang tadi. Walau bagaimanapun keadaan Sarah masih belum sedar. Mohon doa semua untuk dipermudahkan segala urusan," ujarnya.

Pada Jumaat malam acara bacaan Yassin secara maya akan diadakan yang diketuai oleh Ustaz Haji Ahmad Salahuddin Harun dan turut di sertai Al Fadhil, Datuk Dr. Haji Mohd Fadzillah Kamsah dan rakan selebriti yang lain bagi mendoakan agar urusan Siti Sarah yang kini sedang bertarung di unit rawatan papi (ICU) dipermudahkan.

Sebelum ini, Sarah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) pada pagi Jumaat selepas tahap oksigen dalam badan menurun dan terpaksa ditidurkan. Atas nasihat doktor, penyanyi berusia 37 tahun itu perlu menjalani pembedahan bagi mengeluarkan bayi dalam kandungan yang kini mencecah lapan bulan.



Sarah dipindahkan ke ICU di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) pada pagi Jumaat. Dia dimasukkan ke hospital berkenaan pada petang Rabu selepas mengalami batuk yang teruk dan kekurangan oksigen dalam badan akibat jangkitan Covid-19.

Sarah dan Shuib sekeluarga disahkan Covid-19 sejak 25 Julai lalu. Mereka sekeluarga menjalani ujian saringan selepas pembantu rumah disahkan positif virus maut tersebut.

Sarah dan Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhamad, berkahwin pada 2011, memiliki tiga cahaya mata iaitu Uwais Alqarni, 10, Dzahira Talita Zahra, 8, dan Ariq Matin, 6.





         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: