06 August 2021

HIDAP KANSER, KETULAN SEBESAR BOLA - EMMA AKMA PERLU RM50,000 UNTUK PEMBEDAHAN



Pelakon Emma Akma baru-baru ini telah disahkan menghidap kanser pada bahagian dalam perut dan cyst pada kiri dan kanan ovarinya. Emma atau nama sebenarnya, Noorakma Yunus, 52, kini dalam proses untuk menjalani pembedahan, namun dia buntu memikirkan bagaimana hendak mendapatkan wang kira-kira RM50,000 bagi menampung kos pembedahan yang bakal dijalaninya.

"Sebenarnya sejak Ramadan lalu saya sudah rasa tak sedap badan. Rahim dan perut saya rasa panas. Setelah berjumpa beberapa doktor, semuanya memberikan jawapan berbeza. Ada yang cakap saya slip disc. Tak kurang juga yang cakap ada masalah buah pinggang.

"Akhirnya saya ke hospital kerajaan untuk kepastian. Doktor sahkan saya mempunyai ketulan kanser pada bahagian dalam perut yang saiznya sebesar bola speak. Bukan itu sahaja, terdapat ketumbuhan atau cyst pada bahagian kiri dan kanan ovari saya," katanya.

Jelasnya lagi, dia perlu menjalani pembedahan secepat mungkin dan kerana hospital kerajaan perlu fokus kepada pesakit COVID-19 yang semakin bertambah ketika ini, Emma dinasihatkan untuk menjalani pembedahan di hospital swasta.

"Disebabkan ketulan kanser semakin membesar, doktor nasihatkan saya agar melakukan pembedahan dengan kadar segera. Saya buntu dan tak tahu nak cari mana duit sebanyak itu. Iyalah, sejak pandemik COVID-19, bukan sahaja tak dapat berlakon, malah pekerjaan lain juga agak terbatas.

"Sekarang saya dijaga suami. Pergerakan saya terbatas kerana tidak boleh berdiri lama. Kadang-kadang saya perlu menggunakan kerusi roda dari bilik ke dapur. Apatah lagi apabila keluar rumah untuk mendapatkan rawatan. Memang kena guna kerusi roda. Jadi, keadaan inia gak menyukarkan saya untuk cari duit kos pembedahan.

"Kalau setakat nak makan, insya-Allah saya dan suami masih mampu. Namun untuk mendapatkan wang sebanyak RM50,000 dalam masa yang singkat agak sukar kerana saya perlu menjalani pembedahan dengan segera sebelum keadaan diri saya menjadi lebih teruk," ujarnya lagi.

Emma pada masa sama menambah, dia pada awalnya dia tidak mahu memohon bantuan secara terbuka kerana tidak mahu menyusahkan mana-mana pihak, apatah lagi dengan situasi semasa kini.

"Kalau ikutkan hati, saya tak mahu berkongsi tentang hal ini. Saya sudah reda dengan apa yang berlaku. Mungkin inilah ujian Allah buat saya untuk lebih dekat padaNya.

"Namun, disebabkan doktor memberitahu saya perlu jalani pembedahan secepat mungkin, atas nasihat kawan-kawan saya beranikan diri untuk memohon bantuan secara terbuka.

"Saya tahu ramai yang susah sekarang, tetapi saya tidak memaksa. Kalau ada yang sudi memberi sumbangan, Alhamdulillah. Andai kata saya tidak sempat melakukan pembedahan dan itu boleh menyebabkan saya 'pergi' menemuiNya, saya reda. Saya bukanlah berdoa untuk itu (meninggal dunia), tetapi saya perlu akur jika itu ketentuanNya," luahnya.

Walaupun diberitahu sakitnya itu ada kaitan dengan ilmu hitam, Emma tidak mahu terlalu memikirkannya: "Tak dinafikan, sebelum ini saya memang pernah terkena buatan orang beberapa kali. Namun untuk kali ini, saya tak mahu memikirkannya sangat. Saya tak mahu stres atau berasa sedih kerana itu tidak membantu saya.

"Saya lebih selesa untuk mendekatkan diri kepada Allah kerana itulah sebaik-baik perkara. Apa yang terjadi adalah kehendakNya. Saya yakin Allah tahu apa yang terbaik untuk saya," jelasnya lagi.

Emma yang pernah berlakon dalam drama bersiri Gerak Khas: The Finale dan Sape Dari Itali ini berharap sumbangan ikhlas orang ramai membolehkan dirinya menjalani pembedahan.

Sesiapa yang ingin menyumbang kepada Emma Akma, bolehlah salurkan melalui akaun bank Maybank 162209987311 (Noorakma Yunus).

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: