13 August 2021

BETTY RAHMAD KINI BERHIJAB - ANAK MENGAJI, PEMERGIAN SITI SARAH JENTIK HATINYA



Adik kepada pelakon Erma Fatima dan Umie Aida iaitu pelakon Betty Rahmad telah mendedahkan dia membuat keputusan untuk berhijab, bagi mengambil keberkatan Awal Muharam baru-baru ini.

Betty berkata hatinya terjentik untuk berhijab selepas melihat anaknya, Ardy Wira kini berusia dua tahun sudah pandai mengaji Iqra sedangkan dirinya merangkak-rangkak membaca al-Quran.

"Sebenarnya ini semua saya untuk diri sendiri. Setiap kali solat, saya berdoa kepada Allah supaya jadikan diri saya seorang yang lebih baik, beriman dan diberikan hidayah.

“Semuanya terdetik ketika tengok anak pandai mengaji, manakala diri sendiri masih tidak berapa lancar. Sehinggalah saya mula menyertai kelas mengaji dalam talian bersama rakan pelakon, Nabila Huda," kongsinya di laman Instagram.

Klik untuk gambar besar



Kata Betty lagi, dia kini perlahan-lahan mengubah rutin hidupnya dan mengamalkan surah Ar-Rahman serta Al Waqiah setiap pagi. Ujarnya, satu ayat dalam surah Ar-Rahman benar-benar menjentik hatinya.

"Hati saya tersentak setiap kali membaca ayat 'nikmat Tuhan mana yang engkau dustakan?'. Setiap pagi saya ulang membaca surah yang sama. Setiap hari saya terfikir, Alhamdulillah syukur apa yang saya nak, semua Allah bagi. Suami baik dan penyayang, anak bijak dan bisnes yang masih berjalan pada waktu sukar begini sedangkan orang lain bergelut.

"Saya teringat kata seorang ustazah, perempuan senang nak masuk syurga. Syaratnya, jaga suami dan anak, jadi ibu yang baik. Saya pun dah jalankan tanggungjawab sebagai ibu dan isteri dengan baik tapi ada yang tak cukup iaitu aurat," ujarnya.



Dalam pada itu, Betty berkata pemergian penyanyi Allahyarham Siti Sarah untuk menjadi asbab dirinya melakukan perubahan tersebut. Jelas Betty lagi, betapa sayangnya Allah kepadanya apabila masih diberikan rezeki.

"Masa arwah masih ada, saya ada pesan tudung jualannya. Waktu itu saya macam ada niat untuk bertudung tapi tak pakai lagi. Saya tunjuk kepada suami dan dia tanya dah nak bertudung ke tapi saya jawab belum lagi.

"Selepas arwah meninggal dunia, masa itu barulah saya putuskan untuk pakai tudung. Ketika membaca doa Awal Muharam, saya solat dan baca al-Quran bukan sebab sedih, takut atau susah. Tapi terlalu bersyukur dengan apa yang saya ada. Betapa sayangnya Allah kepada saya, semua urusan dipermudahkan, ada saja rezeki yang masuk," tambahnya.







         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: