11 August 2021

BILA 6 ORANG TERPAKSA PEGANG ASIF, 2 JAM PUJUK CUCUK VAKSIN



Menerusi muat naik di laman Instagram, pemilik saluran YouTube popular, Syahmi Sazli telah berkongsi video gelagat sepupunya seorang bintang YouTube Drama Spontan, Mohd Asyiff Suhaimi atau Asif, menerima suntikan vaksin. Video yang dikongsikan pada Rabu itu telah mencuri perhatian netizen.

Menerusi video berdurasi tiga minit tersebut, remaja istimewa ini dilihat takut untuk dicucuk dengan jarum suntikan. Asif, 19, yang berpakaian hitam bertopi merah itu berasa cemas apabila petugas kesihatan mahu memulakan prosedur suntikan.

Pada ketika itu, Asif mula menunjukkan reaksi kurang senang dengan menggaru-garu bahagian lengan kirinya seakan-akan cuba mengelak untuk dicucuk.

Kedengaran petugas kesihatan cuba memujuk dan menenangkan Asif agar memberi kerjasama supaya tidak berlaku perkara tidak diingini ketika proses berkenaan

Klik untuk gambar besar



"Sakit?" tanya Asif ringkas. - "Tak sakit... Asif jangan tengok, palingkan muka ke arah kain kalau takut," pujuk petugas.

Namun ketika kapas antiseptik mula digunakan di bahagian suntikan, Asif semakin tidak senang dan mula bertindak balas. Pada ketika ini kedengaran pujukkan Syahmi agar Asif merelakan diri untuk disuntik pelali berkenaan.

"Tak sakit, nak berlakon kena cucuk... Yoe Parey semua dah cucuk, lepaskan tangan tu," pujuk Syahmi.


Bagaimanapun 'umpan' untuk berlakon tidak berhasil apabila Asif mula berdiri dan meronta-ronta sehingga lebih kurang enam individu termasuk petugas kesihatan, sukarelawan dan Syahmi sendiri terpaksa memegang dan menenangkannya.

Selepas hampir dua jam cubaan memujuk dan menenangkan, Asif akhirnya berjaya divaksinasi di lengan kirinya. Tidak menyedari dia sudah disuntik, Asif akhirnya tersenyum gembira apabila diberitahu proses berkenaan selesai.

"Tak sakit," katanya sambil tersenyum sebelum disambut sorakan daripada mereka yang berada di lokasi berkenaan.

Asif menerima vaksin jenis Sinovac di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Dewan Tuanku Canselor Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Bachok.


KLIK VIDEO DIBAWAH INI UNTUK TONTON


         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: