11 August 2021

GAGAL JAWAB TUNTUTAN SITI NORDIANA - LAN SOLO & RAKAN-RAKAN BERDEPAN MUFLIS



"Seperti yang kita tahu, untuk diisytihar muflis tuntutan itu mesti melebihi RM100,000 dan dalam tuntutan saman ini anak guam saya menuntut RM500,000 daripada setiap seorang.

"Perkara ini (muflis) berkemungkinan berlaku sekiranya defendan-defendan gagal untuk beri pengesahan kehadiran beserta kenyataan pembelaan selewat-lewatnya 17 Ogos ini," kata peguam yang mewakili penyanyi dan pelakon Siti Nordiana, Abang Azlan Abang Ariffin.

Tiada kerjasama daripada pihak penyanyi Lan Solo, Syura Badron serta tiga yang lain berhubung tuntutan saman fitnah yang dibuat penyanyi Siti Nordiana.

Abang Azlan berkata sehingga proses pengurusan kes yang dijalankan secara eReview pada Isnin, kelima-lima defendan terbabit masih tidak memfailkan kehadiran dan pernyataan pembelaan setelah writ saman dan pernyataan tuntutan diserahkan kepada mereka pada 2 Ogos lalu.

Klik untuk gambar besar



Sehubungan itu Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur memberi tempoh sehingga 17 Ogos ini untuk kelima-lima defendan termasuk isteri Lan iaitu Nur Sheila Hassim, Pegawai Perhubungan Awam Syarikat Rakaman FMC Music, Sam Musyadzafar Samin serta jurusolek artis bebas, Razidah Ahmad Senusi atau Aida G untuk berbuat demikian.

Jika gagal, Abang Azlan memaklumkan semua defendan berkemungkinan besar boleh diisytiharkan muflis. Tambah Abang Azlan lagi, sehingga Isnin lalu kelima-lima defendan masih tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 23 Ogos ini sebagai tarikh pengurusan kes (eReview) yang baru dan untuk memaklumkan defendan-defendan mengenai tarikh baru pengurusan kes tersebut.


Sebelum ini, Siti Nordiana atau lebih mesra disapa sebagai Nana, menyerahkan tuntutan saman kepada lima sekawan tersebut yang mana dia menuntut mereka membuat permohonan maaf menerusi siaran akhbar, Instagram dan Facebook live serta RM500,000 setiap seorang.

Untuk rekod, kontroversi tercetus selepas Lan dan Syura membuat pendedahan mengejutkan berkaitan konflik yang berlaku antara mereka dengan Siti Nordiana menerusi sesi Instagram live pada 20 Julai lalu.

Menerusi sesi tersebut, Lan dan isterinya mengakui terkilan dengan Siti Nordiana serta pengurusnya, Anas kerana sering mengungkit perihal soal bayaran makanan.

Sementara itu, Syura pula mendakwa dia dimalukan oleh Siti Nordiana dan pengurusnya, Anas sehingga menyebabkan ada pihak produksi enggan memberikan tawaran kerja kepadanya.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: