11 August 2021

KEMATIAN ISTERI DIJADIKAN 'MODAL' KANDUNGAN - SHUIB MARAH INDIVIDU TAK SENSITIF



"Kita kena ada sensitiviti yang sangat tinggi sebab kita kena tahu, kalau selepas ini Allah nak uji, kita tak tahu sebesar mana ujian itu. Marah memang marah, tapi itu sajalah saya boleh cakap. Apa yang saya boleh katakan, kena ada rasa peka yang tinggi terhadap sensitiviti orang lain.

"Takut nanti hilang sensitiviti, rasa suka nak buka aib... Takut bahagian kita pula satu hari nanti macam mana. Nasib kita di masa akan datang belum lagi diketahui. Lebih baik kita kongsi perkara yang boleh mendatangkan kasih sayang, itu lebih baik untuk semua orang," kata pelawak Shuib Sepahtu yang mengakui marah dengan tindakan beberapa individu yang menjadikan berita kematian isterinya, penyanyi Allahyarham Siti Sarah Raissuddin sebagai 'modal' kandungan di saluran YouTube.

Bapa kepada empat cahaya mata itu berkata demikian ketika ditanya media sejurus selesai majlis tahlil dan bacaan Yassin di kediamannya yang dilakukan secara virtual, Selasa malam.

Meski marah namun Shuib menambah, adalah lebih baik menyebarkan rasa kasih sayang, demi kebaikan semua orang. Shuib berkata, setiap individu perlu sedar dan wujudkan rasa sensitiviti dalam hati masing-masing apatah lagi jika ia membabitkan kematian.

Klik untuk gambar besar


Bagaimanapun, Shuib enggan mengulas lanjut mengenai tindakan individu yang menggunakan nama dan berita kematian isterinya sebagai kandungan dalam permainan video PUBG.

"Saya ada perasan juga di TikTok mengenai yang main PUBG. Tapi, saya tak mahu bercakap mengenai perkara itu," ujar Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhamad, 37.

Sejak kelmarin, kecoh di laman sosial mengenai individu yang terkenal di laman sosial Instagram dan YouTube dikenali sebagai pelakon dan YouTuber, Aisar Khaled yang merakamkan perjalanannya menziarahi puasa arwah Siti Sarah.

Dia difahamkan kemudiannya memuat naik video terbabit sebagai kandungan di saluran YouTube miliknya dan ia mula mendatangkan rasa tidak puas hati di kalangan warganet. Bagaimanapun, individu terbabit sudah pun memohon maaf sekaligus memadam kandungan berkenaan.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: