22 August 2021

"HARUN ADA MESEJ MINTA BANTUAN BAYAR SEWA RUMAH..." - BETTY BANAFE



Ketika era pandemik COVID-19, pelakon veteran, Harun Hashim dan isterinya, Sakinah Ganjali telah menempuh kegetiran apabila berdepan ujian penyakit dan kesulitan hidup. Menerusi hantaran dalam Instagram (IG), pelakon yang juga rakan seperjuangannya, Betty Banafe memaklumkan mendapat perkhabaran mengenai Harun dan isteri dimasukkan di sebuah hospital di Subang, sejak beberapa hari lalu.

"Saya mendapat tahu Harun diserang penyakit darah tinggi, tiga hari lalu. Malah, keadaannya agak teruk apabila terpaksa ditidurkan. Bagaimanapun, berita terkini Harun sudah sedarkan diri. Keadaan lebih membimbangkan apabila isterinya pula diserang penyakit. Difahamkan, isterinya menghidap penyakit kanser otak dan perlu pembedahan segera," katanya.

Betty atau nama sebenarnya, Betty Ibtisam Abu Bakar Banafe berkata, kali terakhir berjumpa Harun pada 25 Julai lalu: "Saya terbabit dalam program infak artis bersama badan bukan kerajaan mengagihkan bantuan kepada golongan yang memerlukan. Harun antara penerima bantuan yang disalurkan. Ketika bertemu, saya lihat keadaan Harun sudah tidak sihat, malah matanya semakin kabur.

"Beliau menghadapi Glaukoma iaitu penyakit urat saraf mata yang boleh menyebabkan medan penglihatan pesakit semakin sempit. Jika dibiarkan berlarutan boleh menyebabkan buta. Saya lihat matanya sudah bertukar warna. Perkara ini diakui Harun, cuma tidak berkemampuan mahu ke klinik untuk pemeriksaan lanjut," jelasnya.

Klik untuk gambar besar



Katanya, pelakon yang sinonim dengan watak hero drama televisyen itu membantu isterinya berniaga di Batu Caves Centerpoint sejak pandemik menular, tahun lalu. Tambah Betty, perniagaan diusahakan terkesan kerana terbiasa menguruskan perniagaan secara fizikal berbanding dalam talian.

"Setahu saya, Harun berniaga pecal sejak kerja penggambaran tidak boleh dilakukan. Dia juga membuka cawangan kedua di Sentul dan berniaga dalam talian. Harun minat berniaga dan isterinya pula pandai memasak. Jadi, mereka berniaga makanan barat dan tempatan seperti pecal. Dahulu, isterinya pernah buka kedai makan di Shah Alam.

"Namun, terpaksa berhenti berniaga berikutan menjaga Harun yang pernah diuji sakit misteri pada 1993. Harun ada menghantar mesej di aplikasi WhatsApp minta bantuan membayar sewa rumah pada 15 Ogos lalu. Namun, saya terlambat membalasnya kerana kesibukan kerja. Akhirnya, saya dapat tahu Harun dan isterinya masuk hospital," tambahnya.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: