09 August 2021

IMAM MUDA ASYRAF SIFATKAN PEMERGIAN SITI SARAH SEBAGAI SYAHID AKHIRAT



"Syahid terbahagi kepada tiga peringkat iaitu syahid dunia dan akhirat, syahid dunia serta syahid akhirat. Syahid akhirat apabila kematian disebabkan melahirkan anak, terbakar, wabak seperti taun serta COVID-19, lemas dan sebagainya.

"Dalam kes Siti Sarah, Allahyarhamah meninggal dunia disebabkan virus COVID-19 dan baru melahirkan anak. Maka, kita boleh kata Allahyarhamah tergolong dalam syahid akhirat. Ganjaran sangat besar, dalam hadis ada disebut tentang orang mati syahid.

"Sesungguhnya dia akan dapat ganjaran yang sangat agung... sangat besar, InsyaAllah tempatnya dalam syurga," ujar pendakwah bebas, Imam Muda Asyraf yang menyifatkan pemergian penyanyi, Allahyarham Siti Sarah Raissuddin, 36, akibat COVID-19 sebagai syahid akhirat.

Menurut Asyraf lagi, arwah Siti Sarah yang meninggal dunia selepas melahirkan anak membolehkan penyanyi itu tergolong dalam syahid ketiga, iaitu syahid akhirat. Kata Asyraf lagi, individu yang tergolong dalam syahid akhirat akan diberi ganjaran dan kemuliaan Allah SWT di akhirat.

"Jenazah mereka diuruskan seperti biasa. Cuma diberikan kemuliaan khusus di akhirat nanti. Jadi, marilah kita sama-sama mendoakan semoga Allahyarham tergolong dalam syahid akhirat," katanya.

Klik untuk gambar besar



Pemergian Siti Sarah pada awal pagi Isnin mengundang rasa sebak dalam kalangan orang ramai terutamanya bagi mereka yang mengenali rapat penyanyi itu.

Menurut Imam Muda Asyraf, sesuatu yang istimewa apabila media sosial dipenuhi dengan perkongsian rakan selebriti dan orang ramai tentang kebaikan arwah ketika hayatnya.

"Ramai dah cerita tentang kebaikan dia, kita anggap ni kematian yang baik. Orang ramai... sayang kalau orang mati dipuji dengan kebaikan, sesungguh orang itu ada tanda-tanda yang baik bagi dia," tuturnya ketika dihubungi media.

Siti Sarah, 37, menghembuskan nafas terakhir pada pukul 5.13 pagi Isnin di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) selepas ditidurkan pada 4 Ogos lalu.


Allahyarham menjalani pembedahan mengeluarkan bayi lelaki ketika kandungan berusia lapan bulan pada 6 Ogos lalu selepas beberapa jam ditidurkan. Lebih menghibakan apabila Siti Sarah pergi ke negeri abadi tanpa sempat menatap bayi yang dikandungkannya itu.

Sementara itu, Asyraf atau nama penuhnya Muhammad Asyraf Mohd Ridzuan berkata, pemergian Siti Sarah dianggap sebagai syahid akhirat kerana kematian disebabkan virus Covid-19.

Tambah Asyraf, sebagai individu yang mengenali rapat dengan keluarga Siti Sarah, dia berharap Shuib akan meneruskan amal kebaikan yang sering dilakukan arwah iaitu bersedekah.

"Sewaktu hidup hajat dan inspirasi Sarah ialah bersedekah, jadi amalan ini boleh disambung. Boleh teruskan hajat dia dalam bersedekah kepada anak-anak tahfiz. Kerana dia minat ke arah itu, jadi kalau boleh perkenankanlah hajat tu agar doa tak berhenti kepada Sarah," tambahnya lagi.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: