09 August 2021

PENGURUS DEDAH ARWAH SITI SARAH TETAP MENDERMA MESKIPUN TENGAH SAKIT



"Dia paling suka menderma, selalu menderma sana sini... kalau ada orang mesej di Instagram perlukan bantuan dia akan bantu. Tapi Sarah tak suka orang tahu dan tak mahu bercerita. Yang terbaharu, sebelum dia menaiki ambulans untuk ke hospital, dia pindahkan wang kepada ibu tirinya dan minta ia disedekahkan.

"Sebelum ditidurkan, dia ada minta pembantunya ambil semua produk tudung untuk disumbangkan kepada jururawat di hospital itu," demikianlah kata pengurus Siti Sarah Raisuddin iaitu Nana Mohamad Rom yang memberitahu arwah gemar menghulurkan sumbangan kepada rakan-rakan dan pengikutnya di laman sosial.

Sikap pemurah serta tidak lokek berkongsi rezeki dengan mereka yang memerlukan sudah menjadi amalan Siti Sarah sepanjang hayatnya. Malah sebelum dimasukkan ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Nana memberitahu isteri kepada pelawak Shuib Sepahtu ini masih sempat memindahkan sejumlah wang untuk disumbangkan.

Nana ditemui selepas pengebumian jenazah Allahyarham Siti Sarah di Tanah Perkuburan Islam Sungai Pusu, Gombak, Selangor kira-kira pukul 1.20 petang, Isnin. Bercakap mengenai tahap kesihatan Siti Sarah, Nana berkata penyanyi itu tidak pernah memiliki sebarang sejarah penyakit kronik.

Klik untuk gambar besar



"Dia tak ada sebarang penyakit... dia sangat menjaga pemakanan, semasa kuarantin dia selalu dapatkan rujukan doktor peribadi. Sepanjang tempoh kuarantin di rumah, memang saya telefon setiap hari... dia kata keadaan dia okay sahaja dan minta saya jangan risau.

"Tapi pada hari kelapan dia beritahu kena pergi hospital sebab oksigen drop, ketika itu dia mula ada simptom batuk-batuk... dia fikir itu gejala biasa sebab tinggal dua hari untuk potong gelang," ujarnya.

Untuk makluman, Sarah dan Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhamad, berkahwin pada 2011. Selain Ayash Affan yang kini masih dipantau di PPUKM, mereka turut memiliki tiga lagi cahaya mata iaitu Uwais Alqarni, 10, Dzahira Talita Zahra, 8, dan Ariq Matin yang berusia 6 tahun.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: