09 August 2021

SHUIB AKUI BERAT HATI NAK BERITAHU ANAK-ANAK PEMERGIAN IBU MEREKA



"Sehingga saat ini mereka (anak-anak) belum tahu (pemergian ibu mereka, Siti Sarah). Ini tugas paling berat saya. Balik ini saya kena bagi tahu mereka. Insya-Allah saya harap semua okay. Terus mendoakan keluarga saya," ujar pelawak dan usahawan Shuib Sepahtu, 38, yang memberitahu, tiga anaknya iaitu Uwais Alqarni, 10, Dzahira Talita Zahra, 8, dan Ariq Matin, 6, masih belum tahu mengenai pemergian ibu mereka, Siti Sarah Raissuddin, 37.

Menurut Shuib, dia akan memberitahu berita duka ini kepada anak-anaknya sejurus dia sampai ke rumah selepas pulang dari Tanah Perkuburan Islam, Kampung Sungai Pusu, Gombak.

Ditanya mengenai keadaan anak keempatnya, Ayash Affan yang dilahirkan Jumaat lalu, Shuib berkata, dia belum berjumpa dan melihat wajah anak lelakinya itu.

"Setakat ini saya baru dua kali dapat maklumat mengenai Ayash. Maklumat terakhir yang saya dapat dia sangat aktif. Mata sudah buka, kaki sudah menendang dan ada banyak pergerakan. Saya juga belum dapat gambar atau videonya. Insya-Allah dalam masa terdekat. Terima kasih sebab doakan dia. Semoga proses pembesarannya lancar," jelasnya.

Klik untuk gambar besar



Dalam pada itu, Shuib turut berkongsi kata dan detik terakhir bersama Siti Sarah. Kata Shuib, isteri itu ada meluahkan rasa takut sebelum dibawa ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia (HCTM), Khamis lalu. Shuib ketika ditemui berkata, di sebalik kata-kata itu dia tetap percaya isterinya seorang yang kuat.

"Dia (Siti Sarah) cakap dia takut. Saya tahu dialah orang yang paling kuat dan paling baik hatinya. Saya banyak dapat pelajaran daripada apa terjadi. Kepada kaum lelaki dan suami, terus hargai isteri," katanya ketika ditemui selepas pengebumian jenazah isterinya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Pusu, di sini, hari ini.

Menurut Shuib, hari yang sama juga adalah kali terakhir dia menatap wajah isteri kesayangannya itu secara berdepan. Ditanya apakah kata-kata isterinya yang diingati sampai sekarang, Shuib berkata, Siti Sarah sentiasa berpesan supaya menjaga anak-anak.



"Kali terakhir jumpa dia di hospital sebab saya yang hantar dia di wad. Terakhir saya pandang dia di katil. Saya terpaksa tinggalkan dia. Kemudian saya jumpa dia balik selepas dia tutup mata, tapi saya cukup yakin dan percaya dia bidadari syurga saya. Dia nak saya jaga anak-anak dengan baik. Saya akan didik sebaik mungkin menjadi anak yang soleh dan solehah," katanya.

Dalam pada itu, Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhamad sekali lagi mengucapkan ribuan terima kasih kepada orang ramai yang tidak pernah berhenti mendoakan kesejahteraan arwah Sarah sepanjang dia berada di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia, UKM (HCTM).

"Saya nak ucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang bersusah payah adakan masa, adakan usaha untuk isteri saya sepanjang berlaku kejadian ini. Saya ucapkan terima kasih atas solat hajat, atas bacaan Yasin dan sedekah. Hanya Allah yang dapat membalas budi itu.

"Saya balikkan doa-doa itu kepada kalian semua. Saya doakan semuanya diberkati, dilindungi dan dirahmati Insya-Allah. Untuk yang sedang bertarung nyawa, saya doakan Allah permudahkan urusan," tambahnya.




         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: