06 August 2021

"JANTUNG LEMAH, ADA MASALAH BUAH PINGGANG & HATI..." - KESIHATAN BAPA AMYLEA SEMAKIN MEROSOT



"Bapa saya masuk hospital sebab jangkitan kuman di paru-paru disebabkan masalah darah beku dalam saluran jantung dan sudah seminggu dia di IJN. Sekarang keadaan dia masih belum stabil sebab jantung agak lemah. Doktor pun kata ada masalah di buah pinggang dan hatinya pula. Keadaan jantungnya kini hanya 18 peratus saja.

"Doktor kata ikutkan pesakit yang ada masalah yang sama sepatutnya sudah tidak sedarkan diri tapi Alhamdulillah bapa saya masih sedar cuma keadaannya sangat lemah," kata penyanyi Amylea yang berdepan dugaan apabila bapanya iaitu Azizan Zainal Abidin yang kini dirawat di Institusi Jantung Negara (IJN) sejak seminggu akibat jangkitan kuman di paru-paru semakin merosot.

Amylea ketika dihubungi pada Jumaat memberitahu jangkitan itu berlaku disebabkan bapanya yang berusia 62 tahun mempunyai darah beku di saluran jantung. Berdepan dengan masalah buah pinggang dan hati juga, Amylea berkata, bapanya masih dalam keadaan sedar namun jantungnya sudah semakin lemah.

Sebelum ini, penyanyi berusia 34 tahun ini memuat naik foto keadaan bapanya yang kini dirawat di hospital menerusi laman Instastory miliknya pada Khamis. Penyanyi lagu 'Bangkit Semampuku' itu juga berkongsi semula status rakan-rakannya yang turut mendoakan agar bapanya kembali sembuh.

Klik untuk gambar besar



Dalam pada itu, Amylea berkata bapanya sudah berdepan dengan serangan jantung sejak dua tahun lalu dan kerap berulang alik ke hospital disebabkan kesihatannya semakin merosot. Biarpun sebelum ini memilih untuk merahsiakan saja, namun dia terpaksa berkongsi perkara itu agar semua orang dapat mendoakan keadaan bapanya.

"Bapa saya memang sejak dua tahun lalu kena serangan jantung dan keadaannya selepas itu semakin merosot. Kiranya sepanjang dua tahun ini bapa saya berulang alik ke hospital yang dah macam rumah kedua. Saya tak pernah kongsi perkara ini kepada umum tapi kali ini saya terpaksa kongsi sebab nak mohon agar semua orang mendoakan keadaan bapa saya.

"Masa dia kena jangkitan kuman itu, dia terpaksa duduk di rumah selama empat hari sebab hospital kerajaan penuh. Dalam keadaan sekarang ini, ramai pesakit bukan Covid-19 tak dapat rawatan di hospital. Keadaan sekarang sememangnya sangat tertekan buat kami. Kami perlukan doa dan bantuan orang ramai. Apa-apa ubat-ubatan kami mampu untuk bayar," ujarnya yang sbelum ini terpaksa merayu sumbangan derma kilat bagi membiayai kos rawatan bapanya yang menghidap penyakit jantung.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: