04 August 2021

KES PEMERDAGANGAN WANITA - PELAWAK TERKENAL BEBAS DENGAN JAMINAN POLIS



Selebriti lelaki yang dipercayai seorang pelawak akhirnya dibebaskan dengan jaminan polis pada Selasa, selepas tiga hari ditahan kerana disyaki terbabit dalam kegiatan pemerdagangan manusia bagi tujuan eksploitasi seks.

Perkara itu disahkan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Kontinjen Negeri Sembilan, Asisten Komisioner Ramlan Abdul Razak pada Rabu. Bagaimanapun Ramlan berkata pihaknya masih menjalankan siasatan berhubung kes berkenaan.

"Kami dah bagi jamin semalam, bagaimanapun kes ini masih dalam siasatan," katanya.

Pada Selasa, seorang pelawak terkenal dilaporkan ditahan polis selepas disyaki terbabit dalam kegiatan pemerdagangan manusia bagi tujuan eksploitasi seks di sebuah hotel di Kuala Pilah pada Ahad.

Dalam serbuan itu, polis turut menyelamatkan seorang wanita berketurunan Melanau daripada menjadi mangsa pemerdagangan orang. Mangsa mendapat perintah perlindungan sementara untuk ditempatkan di sebuah rumah perlindungan di Johor.

Kes disiasat mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 15 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Sejak berita itu tular, nama pelawak Tauke (Jambu) dan Shahrol Shiro dipetik oleh netizen sebagai selebriti yang ditahan polis akibat terbabit kegiatan pemerdagangan manusia bagi tujuan seks. Bagaimanapun, Tauke atau nama sebenarnya Zamratul Amri Zakaria, 45, dan Shahrol menegaskan mereka tiada kaitan dengan kes.

Menurut bekas peserta program Maharaja Lawak Mega itu lagi, dia tidak boleh memberi komen lanjut berikutan bukan individu yang dituduh atas jenayah itu.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: