04 August 2021

POSITIF COVID-19, IBU DALAM PERMANTAUAN, BAPA DI ICU - DAYAH TERKILAN TIADA DI SISI



Pengacara Dayah Bakar yang jauh berada di perantauan itu meluahkan rasa sedih dan terkilan apabila tidak dapat berada di sisi ibu dan bapanya yang kini bertarung nyawa melawan virus Covid-19.

Menurut Dayah, bapanya iaitu Abu Bakar Johar, 68, kini mendapatkan rawatan di bahagian Unit Rawatan Rapi (ICU) di sebuah pusat perubatan di Selangor. Manakala ibunya, Halimatul Kamaliah Abdul Rahim, 68, sudah dibenarkan keluar selepas sembuh sepenuhnya daripada jangkitan tersebut.

"Buat masa ini ayah saya masih lagi di ICU dan mak sudah pun dibenarkan keluar dari hospital tapi mak masih lagi dalam pemantauan dan jalani kuarantin di rumah sambil dijaga oleh kakak ipar saya. Anak mana yang tidak ralat jika tidak dapat bersama dengan mak ayah di waktu yang sangat memerlukan.

"Dalam waktu sekarang, yang termampu saya buat adalah bekalan doa untuk kedua ibu bapa tersayang supaya cepat sembuh," katanya menerusi kiriman WhatsApp kepada media.

Klik untuk gambar besar



Sebelum ini, Dayah atau nama sebenarnya, Nur Hidayah Abu Bakar, 32, berkongsikan perkembangan terkini keadaan ibu dan bapanya serta memohon doa daripada peminat untuk kesembuhan orang tuanya, menerusi laman Instagram miliknya.

"Doa anda semua amat bermakna buat saya dan keluarga. Terima kasih banyak, semoga Allah merahmati di atas kebaikan anda semua," pohonnya.

Dayah yang kini berada di Canberra, Australia berkata, dia sentiasa memantau perkembangan ibu bapanya walaupun berada jauh di perantauan.



"Buat masa ini, saya hanya tunggu apa-apa update untuk balik ke Malaysia. Once saya dapat tahu, saya akan kongsikan nanti dengan pengikut-pengikut saya," ujarnya.

Dayah berhijrah awal tahun lalu bagi mengikut suaminya, Muhammad Hanif Hamidi yang bertugas sebagai pegawai tentera dan terikat dengan komitmen kerja di luar negara.

Untuk makluman, Dayah berkahwin dengan Hanif pada 29 Jun 2018. Perkahwinan mereka diserikan dengan kehadiran cahaya mata lelaki, Achbar Muhammad Fahri yang dilahirkan pada 17 Ogos tahun lalu.



         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: