18 August 2021

MALANG TAK BERBAU - ANAK KAMAL CRK TERBABIT KEMALANGAN



Penyanyi kumpulan rock CRK, Mohamad Kamal Mohd Rashidy atau Kamal CRK telah menerima berita mengejutkan apabila anaknya, Aqasha Amani, 17, terbabit kemalangan di Jelutong, Pulau Pinang, semalam.

"Masa dapat berita ini berderau darah saya. Apabila tengok mukanya berdarah, saya tergamam dan terdiam sekejap," ujarnya.

Kamal yang popular dengan lagu 'Cinta Dan Airmata' itu ketika dihubungi berkata, kemalangan berlaku kira-kira jam 1 petang ketika Aqasha yang menunggang motosikal dalam perjalanan ke rumah neneknya untuk mengambil makanan.

"Aqasha dalam perjalanan nak ambil makan tengah hari di rumah ibu saya yang tinggal berasingan. Apabila tiba di Perak Road, sebuah kereta tiba-tiba keluar dari simpang dan melanggarnya.

Klik untuk gambar besar



"Banyak kereta diletak di kiri dan kanan jalan, jadi pemandu tak nampak anak saya. Mungkin nasib dia nak kena," jelasnya yang kembali menetap di Pulau Pinang sejak Ramadan lalu.

Namun begitu, Kamal bersyukur kerana ketika kejadian, anak saudaranya turut melalui jalan terbabit dan terlihat anaknya terbaring akibat kemalangan.

"Kalau tidak mungkin susah juga mana-mana pihak untuk sampaikan perkara ini kepada saya. Syukurlah Aqasha hanya luka-luka dan tiada mengalami kecederaan dalaman.

"Kadang-kadang dia naik basikal atau motosikal ke rumah neneknya. Tapi motosikal yang dinaiki pun motosikal lama dan memang tak boleh laju. Dia dimaukkan ke wad satu malam dan dibenarkan keluar pagi tadi," katanya yang tinggal berdua dengan anak tunggalnya itu.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: