21 August 2021

NADIR SEDIA BERI KERJASAMA - PEGUAM



"Anak guam kami sudah dihubungi Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah, hari ini. Namun sebagaimana diketahui umum, anak guam kami (dan orang lain juga) menghadapi kesukaran untuk keluar dari Gaza, Palestin dan masuk semula jika beliau keluar buat masa ini disebabkan sempadan keluar masuk yang dikawal ketat oleh pihak berkuasa.

"Anak guam kami sedia memberi kerjasama dalam apa juga keterangan yang dibuat mengikut undang-undang, demi membantu keadilan dilaksana," kata Datuk Zainul Rijal Abu Bakar, peguam yang mewakili Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia (CGM) Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman.

Nadir difahamkan belum mengetahui butiran lanjut mengenai laporan polis yang dibuat pendakwah terkenal, Ustaz Ebit Lew. Perkara itu dimaklumkan peguamnya dalam kenyataan dikeluarkan, hari ini. Bagaimanapun, katanya, Muhammad Nadir memberi jaminan untuk terus bekerjasama dengan polis berhubung siasatan kes berkenaan.

Menurut Zainul Rijal juga, Nadir sedang melanjutkan pengajian di bumi bergolak itu dan melaksanakan pelbagai aktiviti kemanusiaan bagi membantu warga Gaza, khususnya menyampaikan bantuan yang disalurkan oleh rakyat Malaysia.

Pihaknya turut menafikan dakwaan tular bahawa Nadir tidak membalas mesej dihantar polis hingga terpaksa meminta bantuan Polis Antarabangsa (Interpol).

Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Superintendan Ashari Abu Samah memaklumkan Nadir sudah dihubungi dan keterangannya akan dirakam dalam masa terdekat. Menurutnya, pihaknya dimaklumkan Nadir bersedia untuk memberi kerjasama yang sewajarnya.

"Bagaimanapun penyanyi rap, Ariz Ramli atau lebih dikenali Caprice setakat ini masih belum menjawab mesej yang dihantar kepadanya," ujarnya.

Sementara itu, Nadir mengesahkan dirinya sudah dihubungi polis petang tadi: "Saya baru menerima mesej daripada pihak polis tadi dan sudah memberi maklum balas serta sedia memberi kerjasama," maklumnya.

Terdahulu, Nadir memberitahu beliau akan melantik peguam bagi berurusan dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) susulan laporan polis dibuat Ebit Lew. Dalam masa sama, Nadir menjelaskan, beliau tidak pasti mesej yang dihantar oleh PDRM dihantar ke mana sama ada Facebook (FB) atau Instagram (IG).

"Saya pun tidak pasti bagaimana PDRM cuba berhubung sebab disebutkan chat. Sedangkan puluhan mesej masuk setiap hari untuk jemputan live, sumbangan dan perkembangan projek namun tidak ada isu kerana mereka dapat berhubung dengan saya.

"Jika di FB atau IG ia mungkin terlepas pandang kerana ada puluhan mesej masuk setiap hari. Jadi ada ratusan mesej, saya tidaklah dapat membacanya satu-satu," jelasnya.

Polis semalam dilapor memohon bantuan Polis Antarabangsa (Interpol) untuk mengesan Nadir dan Caprice selepas pihaknya gagal mendapatkan maklum balas daripada kedua-dua individu itu.

Pada 22 Julai lalu, Ebit Lew hadir di IPD Wangsa Maju bagi memberi keterangan mengenai laporan dibuatnya yang disiasat mengikut Seksyen 500/504 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: