21 August 2021

"TIADA GUNA SAKIT HATI... SAYA NAK MUDAHKAN URUSAN SEMUA ORANG" - SHUIB MAAFKAN AISAR KHALED



Sebelum ini, nama personaliti media sosial, Aisar Khaled hangat diperkatakan selepas dia mencetuskan kontroversi apabila memuat naik video melawat ke Tanah Perkuburan Islam Sungai Pusu, Gombak iaitu lokasi Allahyarham Siti Sarah dikebumikan sebagai kandungan untuk laman YouTube miliknya pada 9 Ogos lalu.

Tindakan Aisar itu telah menerima kecaman apabila menimbulkan rasa kurang senang ramai pihak dimana mereka menganggap dia mengambil kesempatan dan tidak sensitif dengan keadaan yang berlaku.

Namun terkini, kontroversi melawat kubur Allahyarham Siti Sarah nampaknya selesai apabila suami penyanyi itu iaitu pelawak Shuib Sepahtu atau nama sebenarnya Shahmira Muhamad, memaafkan Aisar.

Perkara tersebut dikongsikan Aisar menerusi Instagram dengan memuat naik mesej pesanan suara yang dihantar oleh Shuib menerusi aplikasi WhatsApp pada Sabtu. Dalam rakaman tersebut, Shuib berkata dia sudah memaafkan kesilapan yang dilakukan Aisar dan tidak menyimpan dendam atas apa yang telah berlaku.

Klik untuk gambar besar



"Tak apa, dari awal apabila dapat tahu saya tengok video tu saya dah maafkan awak... tiada guna sakit hati atau berdendam. Saya nak mudahkan urusan semua orang, saya juga minta Allah permudahkan urusan saya, jadi saya tak nak menyusahkan orang lain. Tiada manusia sempurna di dunia, saya pun selalu buat salah dan dosa.

"Banyak dosa saya dengan Allah tapi mungkin apa yang boleh kita ambil pengajaran janganlah berbuat kesalahan sama, mungkin kita tak perasan kesalahan itu adalah kesalahan yang tak sepatutnya kita buat.

"Saya doakan awak terus menjadi YouTuber yang hebat, baik dan bagus. Gunakan platform kita untuk sebarkan kebaikan. Jangan jadi orang yang terlalu seronok membuat kandungan sampaikan akhirnya nanti, apa yang kita buat itu akan makan diri kita sendiri.



"Insya-Allah kita kena ingat kematian cukup hampir dengan kita, cuma tidak tahu bila. Jadi semoga kebaikan yang kita buat di atas muka bumi ini menerusi platform yang Allah bagi untuk perkara baik untuk semua dan kita," kata Shuib.

Dalam pada itu, YouTuber berusia 21 tahun ini turut mengucapkan terima kasih kepada Shuib kerana menerima permohonan maafnya itu dan berjanji tidak akan mengulangi kesilapan sama: "Terima Kasih Abang Shuib... ujian seperti ini mengubah hidup saya. MasyaAllah," tulisnya pada ruangan kapsyen.

Sementara itu, bapa kepada empat cahaya mata itu turut mengingatkan Aisar supaya berpada-pada dalam menggunakan media sosial serta menjadikan ruang platform yang ada untuk tujuan baik.



         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: