28 August 2021

"NAK 'BLOCK' SAYA PUN, TAK APA" - JAAFAR ONN IKHLAS TEGUR ARTIS VETERAN TIDAK BERTUDUNG



Baru-baru ini, menerusi laman Instagram, pelakon dan pelawak Jaafar Onn, 70, memuat naik hantaran dimana beliau menegur artis wanita veteran yang tidak bertudung dan dosanya itu ditanggung suami: "Ramai juga artis veteran yang masih belum berhijab (bertudung). Berhijablah. Suami yang tanggung semua. Apa pendapat anda?" tulisnya.

Jaafar ketika dihubungi berkata, dia tidak berniat untuk mencari sebarang masalah dengan mana-mana individu apabila menegur artis-artis wanita veteran yang masih belum bertudung. Jelas Jaafar, sebagai orang tua, dia hanya menegur dan melakukan tanggungjawabnya. Sekiranya tegurannya secara umum itu mengguris hati mana-mana pihak, Jaafar meminta maaf.

"Saya bukan sengaja nak mencari masalah. Yang mana patut saya tegur, saya tegur. Janganlah disebabkan saya tegur, orang nak 'banned' saya. Saya tegur sebagai orang tua. Kepada yang terasa hati, saya minta maaf. Teguran saya itu secara umum dan tidak ditujukan kepada sesiapa.

"Nak terima atau tidak, terpulang kepada diri sendiri. Dulu, saya pernah menegur seorang rakan artis yang sudah bertudung, tapi memakai pakaian dengan warna kulit di bahagian bahu. Bila saya tegur, sampai sekarang dia dah tak tegur saya," ujarnya yang baru sahaja selesai menyiapkan satu skrip drama berjudul 'Eh, Eh, Lembutnya Dia' untuk syarikat produksi Global Station Sdn Bhd.

Menurut Jaafar, dia juga tidak kisah sekiranya tindakannya itu akan membuatkannya disekat di mana-mana platform media sosial: "Kalau ada yang nak 'block' saya pun, tak apa. Saya tak hairan pun sebab saya tegur dengan baik. Bukan saya mengada-adakan cerita," tambahnya.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: