28 August 2021

RAMAI HULUR BANTUAN - IBU IZUAN FITRI TERHARU, BERSYUKUR



"Saya tak tahu nak cakap apa... Saya sangat bersyukur dan berterima kasih atas keprihatinan ramai. Tidak sangka ramai yang ambil berat. Rasa sedih pun ada sebab ramai yang menghubungi saya. Seperti pagi tadi, selepas kami ke udara di program Borak Kopitiam, ada individu menelefon dan mahu pinjamkan katil khas untuk Adik (panggilan kepada Izuan Fitri) apabila keluar hospital nanti.

"Individu itu mahu meminjamkan katil tanpa apa-apa bayaran. Adik memerlukan katil khas untuk dia berbaring. Syukur Alhamdulillah, lega sangat apabila ramai yang mahu membantu. Saya bersyukur tindakan bersuara kepada media massa membuahkan hasil positif. Terima kasih kepada media yang banyak membantu.

"Tanpa anda semua, tidak mungkin saya terima bantuan secepat ini," tutur ibu pelakon remaja, Izuan Fitri yang terharu apabila ramai menghulurkan bantuan selepas tersiarnya berita kemelut kewangan yang dihadapi bagi membiayai kos perubatan anak yang menjalani pembedahan bahagian otak di Hospital Kuala Lumpur (HKL), awal bulan ini.

Nor Abdul Rani, 57, yang juga ibu tunggal, menerima banyak panggilan termasuk dari pegawai Lembaga Zakat Selangor (LZS) yang prihatin dengan nasibnya. Berkongsi mengenai bantuan dihulurkan LZS, Nor berkata, lembaga itu akan memberikan kelengkapan diperlukan Adik selepas dibenarkan keluar dari Institut Perubatan Respiratori (IPR).

"Apabila Adik keluar, kami akan sediakan dokumen diperlukan. Selepas itu, barulah LZS akan memberi kelengkapan mengikut apa dimahukan. Kemungkinan LZS mahu memberi peralatan bagi proses rawatan dan penyembuhan Adik di rumah. Terima kasih LZS kerana prihatin.

Klik untuk gambar besar



"Sebenarnya, bukan kali ini saja, malah sebelum ini, keluarga anak sulung saya, Nur Indah adalah asnaf yang berdaftar di bawah LZS. Jadi, mereka ada rekod kami. Ditambah pula dengan berita yang disiarkan media, LZS menjadi lebih peka," katanya.

Pada 31 Julai lalu, Izuan Fitri yang juga pelakon filem 'One Two Jaga' dan 'Munafik' dikejarkan ke Hospital Selayang selepas tidak sedarkan diri dan diserang sawan akibat batuk kering atau tibi. Izuan Fitri ditempatkan di IPR selama lebih sebulan sebelum dipindahkan ke HKL untuk menjalani pembedahan. Selepas tiga minggu dirawat di HKL, pelakon remaja itu dipindahkan ke IPR, Selasa lalu.

Sementara itu, Nor sedih melihat kembar Adik, Izuan Fikri yang sentiasa berduka memikirkan nasib adiknya. Kata Nor, Izuan Fikri yang dipanggil Abang, sering bersedih hingga tidak lalu makan.

"Abang yang banyak menjaga Adik. Dia yang menemani dan menjaga Adik di Hospital Selayang. Saya hanya dapat melihat dari luar bilik sebab pelawat tidak dibenarkan. Mereka sangat rapat. Abang menangis, tak mahu makan disebabkan tertekan melihat keadaan adiknya. Kalau kita masih boleh tersenyum, Abang tidak upaya.

"Jadi, kami merayu agar IPR izinkan Abang menjaga Adik. Alhamdulillah, ujian calitan COVID-19 negatif, jadi Abang boleh teman Adik," jelasnya sambil menambah Abang mula menemankan adiknya di IPR, hari ini.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: