05 August 2021

PELAWAK TERKENAL DIPERCAYAI 'TRANSPORTER' PEKERJA SEKS



Ditahan polis berhubung kegiatan pemerdagangan manusia, seorang selebriti lelaki berusia 40-an dilaporkan dipercayai terbabit dengan khidmat seks di hotel dengan bayaran melebihi RM1,000 untuk tempoh lapan jam.

Sumber berkata, siasatan polis mendapati artis lelaki terbabit berperanan sebagai 'penghantar' pekerja seks yang terlebih dahulu ditempah secara dalam talian menggunakan aplikasi WhatsApp.

Menurutnya, berdasarkan siasatan awal, artis lelaki terbabit mengambil pekerja seks itu di Bukit Jalil, Kuala Lumpur sebelum membawanya ke sebuah hotel di Kuala Pilah, Negeri Sembilan pada Ahad lalu.

"Soal siasat terhadap wanita ditahan itu mendakwa dia terbabit dalam kegiatan pelacuran dikendalikan seorang ejen bernama Kevin yang berperanan mempromosikan khidmat seks melalui pelbagai aplikasi media sosial. Biasanya pelanggan yang berminat diminta mendepositkan wang ke dalam akaun bank diberikan Kevin untuk melanggan pelacur," katanya.

Menurutnya, artis lelaki itu yang mendakwa kekasih wanita terbabit berperanan sebagai transporter untuk menghantarnya kepada pelanggan yang menanti di hotel.

Menerusi laporan Harian Metro, pihak polis merancang rapi dan mengadakan operasi khas sebelum tangkapan dibuat untuk membongkar aktiviti pemerdagangan manusia bagi tujuan seks yang melibatkan pelawak lelaki itu.

"Tangkapan dilakukan bukan secara kebetulan berikutan polis merancang rapi dan mengadakan operasi khas bagi membongkar aktiviti pemerdagangan manusia itu untuk tujuan eksploitasi seks. Hasil penahanan itu, polis menemui pelbagai barang bukti antaranya telefon pintar, kondom dan wang disyaki hasil kegiatan jenayah itu," jelasnya.

"Siasatan lanjut berkaitan kes ini diteruskan bagi mengenal pasti rangkaian kegiatan pemerdagangan orang ini," jelas ketua Polis Daerah Kuala Pilah Superintendan Amran Mohd Ghani.

Terdahulu, pelawak terkenal itu ditahan selepas dipercayai terbabit dalam kegiatan pemerdagangan manusia bagi tujuan eksploitasi seks dalam sekatan jalan raya di Ulu Bendul, Negeri Sembilan. Susulan tangkapan itu, pihak polis berjaya menyelamatkan seorang wanita di sebuah bilik hotel berkenaan.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: