Pemain dram kumpulan Caliph Buskers, Fendy Adlun, 30, meluahkan rasa gembira dan bersyukur apabila hasratnya untuk memiliki rumah mampu milik DBKL, bakal menjadi kenyataan, selepas kira-kira sebulan resah menantikan jawapan.
"Semalam berita saya disiarkan, hari ini Alhamdulillah dah dapat jawapan berkaitan permohonan rumah mampu milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang dimohon. Saya memang berharap sangat nak dapatkan rumah itu dengan segera. Walaupun saya tahu ramai orang kurang berkemampuan macam saya memerlukan rumah mampu milik juga, dan mungkin ada di antaranya sudah menunggu lama.
"Tapi, dalam situasi saya yang cacat penglihatan dan sumber pendapatan sudah terjejas ini, bagaimana saya hendak terus menunggu. Selain itu, saya juga ada seorang anak yang senasib dengan saya, cacat penglihatan dan autisme. Sebagai bapa, sudah tentu sedikit sebanyak saya ingin memberi keselesaan kepadanya walaupun kami tidak mampu hidup mewah," kata Fendy.
Sehubungan itu, Fendy juga mengucapkan terima kasih kepada Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa kerana sudi membantu dan prihatin terhadap masalah rumah yang diperlukannya: "Saya hanya mampu mengucapkan terima kasih dan semoga Allah membalas segala kebaikan yang diberikan ini," ujarnya.
Menurut Fendy, dia difahamkan boleh mendapat kunci rumah itu esok selepas membuat bayaran wang pendahuluan atau deposit. Katanya, harap semoga urusan dipermudahkan dan berjalan lancar. Jelas Fendy, dia baharu sahaja dihubungi wakil Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) yang berjanji untuk memberikan surat tawaran kepadanya pada petang Khamis.
"Saya baru dapat call daripada wakil kementerian... katanya nak bagi surat tawaran hari ni juga. Saya dimaklumkan kira-kira dalam masa seminggu akan dapat rumah sebab surat tawaran dah dapat. Tapi kena tunggu dulu la... tunggu betul-betul dapat surat," jelasnya.
Klik untuk gambar besar
Sementara itu Fendy yang tinggal bersama anaknya Nur Azalea Zafirah, 6, berkata dia sudah hampir putus harapan untuk terus tinggal di Kuala Lumpur jika permohonannya itu tidak berjaya. Walaupun begitu, dia tetap bersyukur kerana masih ada pihak yang terus menyalurkan bantuan makanan untuknya
"Alhamdulillah wang simpanan masih ada tapi kalau saya terus duduk di sini, kos akan makin tinggi. Kalau dapat rumah DBKL ia akan mengurangkan beban, buat masa ni memang tak ada simpanan baru sebab tak ada kerja. Kalau masih tak ada lagi rumah tu... bulan ni adalah bulan terakhir saya di sini. Bantuan makanan banyak sangat... Alhamdulillah, saya masak je la apa yang ada asalkan boleh makan," ujarnya.
Selain itu, Fendy berkata permohonannya untuk bantuan bulanan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi Elaun Pekerja Cacat (EPC) juga sudah diluluskan dan akan diterima tidak lama lagi.
Semalam, Fendy telah meluahkan mengenai status rumah mampu milik yang sudah dimohonnya dari DBKL, namun masih tidak mendapat sebarang perkembangan terkini. Sebelum itu, pada Julai lalu tular video yang dimuat naik Fendy di Facebook yang memohon Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat memudahkan permohonannya mendapatkan rumah mampu milik DBKL.
Ia berikutan, pendapatan Fendy terjejas teruk hingga dia sukar membayar sewa rumah serta perlu menyara anak perempuannya kerana penularan Covid-19. Susulan rayuannya itu, dia dikunjungi Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun serta wakil KWP. Pada masa ini Fendy menyewa di sebuah kondomonium di Sentul, Kuala Lumpur.
________________________
No comments:
Post a Comment