08 August 2021

'SAYANG, APA KHABAR' RUPANYA GIMIK SINGLE TERBARU DAYANG BERSAMA ZYNAKAL



Sebelum ini, pengikut Dayang Nurfaizah di laman Instagram (IG) tertanya-tanya adakah penyanyi kesayangan mereka itu sedang dilamun cinta selepas berkongsi tangkap layar mesej romantis berbunyi 'Sayang, apa khabar'.

Namun terkini, persoalan tersebut terjawab apabila Dayang memberitahu mesej romantis berkenaan sekadar gimik single baharu. Meskipun begitu, Dayang menjelaskan kata-kata itu ada kaitan dengan dirinya.

Dayang atau nama sebenarnya Dayang Nurfaizah Awang Dowty, 40, memberitahu, judul single duet bersama penyanyi Zynakal itu menterjemahkan kerinduannya sekarang.

"Lagu ini bukan sahaja merindukan pasangan kekasih, malah, boleh digunakan untuk situasi lain. Dayang sedang rindu sekarang... Rindu hendak balik ke Kuching, Sarawak.

Klik untuk gambar besar



"Sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0, Dayang tidak pernah balik kampung jumpa adik-beradik. Kali terakhir Dayang adalah pada 2019 dan anak saudara pun sudah besar. Dayang cuma beruntung kerana ibu bapa ada bersama Dayang," katanya.

Walaupun perasaan rindu membuak-buak, namun, penyanyi yang mula dikenali menerusi lagu 'Seandainya Masih Ada Cinta' ini akur hasrat bertemu insan tersayang di Kuching dipendam berikutan pandemik COVID-19.

"Kalau zaman sebelum pandemik COVID-19, apabila rasa rindu kepada seseorang, kita boleh jumpa. Tetapi hari ini, kita kena terima hakikat perkara itu agak sukar dilakukan. Ini bukanlah disengajakan. Apa yang kita lakukan adalah tanggungjawab bersama," ujarnya.



Berkongsi pengalaman bekerja dengan Zynakal, Dayang menyifatkan kolaborasi mereka sebagai sesuatu yang menyeronokkan.

"Tawaran merakamkan lagu duet ini Dayang terima daripada syarikat rakaman. Sebelum bersetuju, Dayang hendak dengar lagu dahulu kemudian baru bertanya siapa pasangan Dayang. Dayang memang suka dengan bakat dan vokal Zynakal selepas melihat persembahannya.

"Suatu perkara yang Dayang seronok bekerja dengan artis muda ini adalah mereka banyak idea dan kreatif dalam berkarya," luah pemenang trofi Vokal Terbaik Anugerah Juara Lagu (AJL) sebanyak tiga kali ini.

Single 'Sayang Aku Tanya Apa Khabar' terbitan Def Jam Malaysia dilancarkan secara rasmi di semua platform muzik digital, Jumaat lalu. Lirik video lagu ini boleh ditonton di saluran YouTube Def Jam Malaysia.






         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: