Anak sulung pelakon era 1990-an, Mas Anizan Mohamed Shahid, iaitu Mas Aliza Ali, telah pun selamat diijabkabulkan dengan jejaka pilihan hati di Pejabat Agama Islam Daerah Shah Alam, Jumaat lalu, selepas dua kali ditunda berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Dengan sekali lafaz, Mas Aliza sah bergelar isteri kepada juruterbang, Faruq Azran. Berkongsi kegembiraan, Mas Anizan, berkata perancangan acara nikah dibuat seminggu sebelum majlis berlangsung.
"Selepas majlis akad nikah dibenarkan di Selangor sejak 1 Julai lalu, saya mula memikirkan cara untuk mempercepatkan majlis ini. Namun, hanya tiga orang dibenarkan hadir iaitu pengantin lelaki dan wanita serta anak kedua saya, Mohd Masli Daniel Ali sebagai wali. Saya hanya menunggu dalam kereta kerana mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan," katanya.
Mas Anizan berkata, mengikut perancangan, majlis pertunangan dan pernikahan dirancang pada 21 Mac lalu: "Kemudian kami menganjak majlis itu kepada 12 Jun lalu. Akhirnya, hanya majlis nikah dapat dilakukan. Kita utamakan akad nikah, majlis resepsi menyusul apabila segala-galanya reda dan kita dibenarkan menganjurkan acara keraian," jelasnya.
Mas Anizan berkata, hanya cincin dan gelang tangan menjadi tanda termeterainya pernikahan mempelai. Busana disediakan oleh pereka fesyen, Man Kajang Bridal Boutique.
"Selepas majlis pernikahan, pasangan pengantin pulang ke rumah untuk mengabadikan foto kenangan. Pelamin bunga telur ringkas disediakan.
"Tidak mengapalah, asalkan sudah sah ikatan suami isteri. Dengan keadaan semasa dan serba-serbi ada kekangan, kita tidak dapat buat apa-apa," ujarnya.
Ditanya perasaan melepaskan anak sulungnya yang disapa sebagai Baby membina keluarga sendiri, pelakon kelahiran Teluk Intan, Perak itu mengaku bercampur baur.
"Sedih ada, bahagia dan gembira pun bertandang. Sedih kerana saya sudah sah menyerahkan tanggungjawab sebagai ibu kepada menantu. Namun, saya yakin Faruq dapat menjaga Baby dengan baik.
"Paling menyeronokkan apabila bertambah ahli keluarga baharu. Insya-Allah, selepas lebih setahun mereka berkenalan, saya yakin Faruq boleh membahagiakan Baby," katanya.
Selain Mas Aliza dan Mohd Masli Daniel, Mas Anizan juga memiliki seorang lagi anak iaitu Ariana Marissa.
________________________
No comments:
Post a Comment