Pelawak Shuib Sepahtu mengakui pada mulanya dia hampir putus asa jika sesuatu yang buruk berlaku apabila oksigen isterinya, penyanyi Siti Sarah turun, namun kuasa Yang Maha Esa, oksigen Sarah kembali naik.
Shuib sebelum ini berkongsikan keadaan Sarah mula stabil apabila paras oksigen menunjukkan perkembangan yang baik meskipun belum sedarkan diri lagi.
"Pukul 7.45 malam Jumaat lalu, oksigen Sarah jatuh sampai 69, masa tu saya rasa macam tiada nyawa dah. Kemudian pukul 11.10 malam doktor hubungi maklumkan keadaan Sarah sangat kritikal, oksigen turun sampai 40... lagi la saya langsung tak boleh fikir apa-apa, tak tahu apa nak buat.
"Tapi apabila Allah memberikan rahmatnya kepada hamba-hamba yang memerlukan dan orang ramai mendoakan Sarah, maka berlaku keajaiban apabila oksigen Sarah naik hingga 77," katanya.
Klik untuk gambar besar
Tambah Shuib, dia sangat bersyukur apabila keadaan Sarah terus menunjukkan perkembangan positif hingga terkini berada pada tahap 85 pada pukul 6 petang Sabtu.
Shuib berkata ujian yang dilaluinya mengajarnya erti reda, yakin terhadap doa dan tawakal kepada Allah. Ujarnya, keajaiban yang Allah berikan kita tidak pernah jangka.
"Berkat solat hajat, bacaan Yasin... satu per satu Allah permudahkan. Terima kasih banyak kepada semua. Ya Allah keajaiban berlaku depan mata, di saat saya merasakan tak ada harapan, tapi Allah berikan keajaiban yang saya tak pernah jangka pun... ia memang luar biasa," ujarnya.
Semalam, Shuib memaklumkan isterinya sudah ditiarapkan dengan paru-paru boleh kembali normal dan bekalkan oksigen dalam badan. Menurut Shuib lagi, doktor juga memberitahu ada sedikit darah beku di paru-paru isterinya.
Sementara itu, bapa kepada Sarah iaitu Raisuddin Hamzah turut bersedih dan bimbang dengan keadaan anaknya yang masih belum sedar dan berada di di Unit Rawatan Rapi (ICU) sejak Jumaat lalu.
Bagaimanapun, pengurus Sarah, Nana Mohd Rom memaklumkan bapa penyanyi itu memohon maaf kerana enggan ditemu bual oleh mana-mana pihak media buat masa ini.
"Kami di pihak pengurusan sedia maklum akan keadaan Raisuddin yang juga tentunya sedang bersedih dengan keadaan anaknya. Dia ada memaklumkan tentang perkara itu kepada kami, tetapi minta semua pihak terutama media untuk menghormati keputusannya enggan ditemu bual buat masa sekarang.
"Cukuplah anda semua tahu bahawa dia sebagai bapa tentunya teramat sedih dengan keadaan Sarah dan mengharapkan yang sama, agar ada perkembangan yang positif dan mahu menyaksikan Sarah sihat seperti sedia kala," jelasnya.
________________________
No comments:
Post a Comment